KUALA LUMPUR – Menolak pengambilan vaksin Covid-19 memang bukan satu kesalahan di Malaysia kerana rakyat berhak memilih untuk tidak diberi vaksin.
Namun, tindakan kumpulan anti-vaksin menyebarkan maklumat yang salah mengenai vaksin, apatah lagi cubaan menghasut orang ramai sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dan salah faham mengenai Program Imunisasi Nasional Covid-19 yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah perbuatan tidak beretika, bahkan menyalahi undang-undang.
Jurucakap MCA, Wong Siew Mun menegaskan, pengambilan vaksin bukan sahaja satu tanggungjawab kepada diri sendiri tetapi ia satu usaha untuk melindungi ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan dan orang lain.
Malah, pengambilan vaksin merupakan sivik kepada masyarakat secara keseluruhannya.
Menurutnya, biarpun golongan anti-vaksin menganggap mereka didiskriminasi dan diperlakukan secara tidak adil lantas berikrar untuk mempertahankan hak mereka untuk tidak divaksin, tetapi hakikatnya kerajaan juga mempunyai tanggungjawab menjaga kesihatan dan keselamatan individu yang sudah lengkap vaksinasi.
Selain itu, pengambilan vaksin mengurangkan lebih ramai orang terkena jangkitan Covid-19 kerana masih ramai kanak-kanak tidak boleh menerima vaksin tersebut.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengumumkan bahawa kerajaan akan menyulitkan hidup mereka yang menolak vaksinasi Covid-19 termasuk terpaksa menjalani ujian berkala dengan perbelanjaan mereka sendiri.
Pada masa yang sama, golongan anti-vaksin juga tidak akan dibenarkan makan di luar rumah atau memasuki pusat membeli-belah.
Siew Mun berkata, biarpun tindakan ini dilihat sebagai satu diskriminasi terhadap golongan anti-vaksin tetapi langkah ini semata-mata untuk melindungi individu yang telah lengkap vaksinasi.
”Demi kesihatan dan keselamatan awam, Kementerian Kesihatan hanya menjalankan tanggungjawabnya untuk kesejahteraan masyarakat,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan sentiasa menggunakan publisiti untuk mendorong lebih ramai orang untuk mendapat imunisasi.
”Semua orang bertanggungjawab untuk mendapatkan suntikan sekarang. Masa luar biasa memerlukan langkah luar biasa. Baik publisiti, pendidikan atau langkah-langkah sukar, semuanya dilakukan untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan awam,” ujarnya. – MalaysiaGazette