Home Akhbar Cina Bukan sekadar tindakan tatatertib

Bukan sekadar tindakan tatatertib

Azam Baki
PUTRAJAYA – Sebarang kesilapan penjawat awam yang disebabkan faktor peribadi serta tindakan yang tidak mengikut prosedur sehingga menyebabkan kerajaan menanggung kerugian akan dikenakan tindakan apabila Akta Salah Laku Penjawat Awam dikuat kuasa.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, Laporan Ketua Audit Negara telah mendedahkan kelemahan agensi kerajaan pada setiap tahun, dan sebahagian daripada kesilapan yang dilakukan adalah “luar biasa”.
Katanya, terdapat kakitangan kerajaan yang bertindak menaikkan harga perolehan dengan sewenang-wenangnya.
Menurutnya, mereka yang terlibat harus didakwa kerana melakukan kesalahan jenayah, dan bukannya dikenakan tindakan tatatertib sahaja.
“Apabila kami mendraf rang undang-undang (RUU) ini, kami telah merujuk akta seumpama di Hong Kong. Ia merupakan akta penting yang bertujuan mengambil tindakan ke atas kakitangan awam yang menyeleweng sehingga menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan,” katanya kepada Sinchew Daily.
Azam berkata, pada masa ini tiada undang-undang yang dapat digunakan untuk mengambil tindakan ke atas kesilapan seumpama yang dilakukan.
“Hanya Jabatan Perkhidmatan Awam dan agensi berkaitan yang boleh mengambil tindakan tatatertib; dan biasanya ia mengambil masa yang penjang, malahan sehingga setahun dua.
“Ada juga pihak atasan yang berpendapat kes terlalu kecil dan enggan mengambil tindakan.
“Orang ramai, di pihak lain pula, mahu tahu apa jenis tindakan yang diambil kerajaan, kami justeru perlu mengambil tindakan lebih tegas ke atas pegawai yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Menurut Azam, SPRM akan memanjangkan draf RUU tersebut kepada Jemaah Menteri dalam masa terdekat dan akan membawanya ke Parlimen selepas diluluskan Kabinet. – MalaysiaGazette
+ posts