Home Nasional Penjawat awam antara 24 ditahan hisap dadah dalam kebun kelapa sawit

Penjawat awam antara 24 ditahan hisap dadah dalam kebun kelapa sawit

Seorang penjawat awam antara 24 individu tempatan ditahan terlobat penyalahgunaan dadah dengan menjadikan sebuah ladang kelapa sawit Felda di Bentong Pahang sebagai sarang mereka diserbu polis.- Foto ihsan IPD Bentong

BENTONG – Sekumpulan individu termasuk salah seorangnya  penjawat awam antara 24 lelaki yang ditahan menghisap dadah dalam kebun kelapa sawit di Felda Mempaga dekat sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, serbuan Ops Sarang itu diadakan sejak 16 Oktober  sehingga Ahad lalu.

“Hasil serbuan kita berjaya memecahkan sebuah port dadah di ladang sawit itu sebelum berjaya membuat tangkapan seramai 24 orang warganegara tempatan termasuk seorang penjawat awam yang leka menghisap dadah.

“Kesemua suspek adalah berusia dalam lingkungan 27 tahun hingga 62 tahun dan berjaya dikepung dan ditangkap walaupun ada berlaku cubaan melarikan diri.

“Hasil pemeriksaan kita berjaya merampas dadah jenis heroin seberat 8.95 gram dan syabu seberat 0.38 gram anggaran bernilai RM500,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Tambah Zaiham, kesemua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 39a(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta dadah Berbahaya 1952.

Kesemua suspek direman selama empat hari bermula 18 hingga 21 Oktober depan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut.

“Saya merakamkan penghargaan kepada orang ramai khususnya penduduk Bentong kerana membantu polis dalam menyalurkan maklumat dalam membanteras jenayah, perjudian dan dadah,” katanya.- MalaysiaGazette