Home Seni Hidup Polis perlu semai sifat terpuji akhlak nabi

Polis perlu semai sifat terpuji akhlak nabi

Anggota polis mengalunkan selawat sempena sambutan Maulidarusul di Surau Umar Abdul Aziz, IPD Kuantan hari ini.

KUANTAN – Setiap anggota polis perlu mengamalkan empat sifat terpuji Nabi Muhammad SAW bagi memantapkan lagi sahsiah diri dan dalam dalam perkhidmatan kepada masyarakat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner  Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, ia perlu dalam melahirkan pasukan berkonsepkan manhaj rabani dengan menekankan ciri-ciri kerohanian dan berbudi pekerti tinggi.

“Polis perlu menyemai empat sifat akhlak terpuji Rasullullah s.a.w siddiq, amanah, fatonah dan tabligh,” katanya semasa meraikan sambutan Maulidur Rasul di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

Seramai 40 pegawai dan anggota pelbagai pangkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan meraikan sambutan Maulidu Rasul di sini hari ini.

Wan Mohd Zahari mengharapkan anggota dapat menyampaikan kepada komuniti dengan bijaksana supaya penugasan harian berkualiti sampai kepada masyarakat.

“Akhlak terpuji ini bersesuaian dengan pucuk pimpinan dalam menjaga integriti Polis Diraja Malaysia Yang menekankan tegas, adil dan berhemah.

“Bertepatan dengan sambutan Manhaj Rabbani Ummah berkualiti, sambutan ini diharapkan merapatkan ukhwah bagi mengenali lebih dekat anggota pasukan,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, sambutan Maulidur Rasul IPD Kuantan diadakan secara sederhana dengan solat jemaah, bacaan Yassin, solat hajat, alunan selawat serta tazkirah ringkas.

“Sambutan dilakukan dalam suasana penuh kesyukuran dan bagi memperkukuhkan silaturahim mengenali keperibadian pegawai dan anggota IPD Kuantan,” ujarnya.

Sesi bacaan tazkirah disampaikan oleh Alias Nawi dari Bahagian Agama Dan Kaunseling (BAKA) Surau Umar Abdul Aziz IPD Kuantan.

Majlis Sambutan Maulidurasul IPD Kuantan dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di negeri ini.- MalaysiaGazette