Home Seni Hidup Permudahkan orang muda beli rumah, hargai kreativiti tempatan

Permudahkan orang muda beli rumah, hargai kreativiti tempatan

Radin Mohammad Azwan.

JOHOR BAHRU – Hasrat majoriti golongan muda untuk memiliki rumah sendiri namun ekoran harganya yang mahal menjadi antara kekangan kepada mereka.

Kakitangan kerajaan, Mohd Ariff Ani, 29, beranggapan, harga rumah terlalu mahal dengan kos sara hidup di Johor menjadikan jumlah golongan muda memiliki kediaman sendiri begitu kecil.

Mohd. Ariff Ani
Untuk itu, Mohd. Ariff berharap kerajaan negeri dapat mewujudkan satu inisiatif khas bagi membina lebih banyak  rumah mampu milik terutama di luar bandar dengan harga sekurang-kurangnya RM40,000 hingga RM80,000  bagi memberi ruang kepada golongan muda di pendalaman untuk memiliki rumah sendiri.

Kerajaan, katanya, perlu memikirkan cara  meningkatkan peluang kumpulan muda B40 agar lebih mudah membeli aset sendiri.

“Sebab kita tahu di kawasan luar bandar golongan muda sangat terhad untuk memiliki rumah contohnya, di Felda. Felda menetapkan satu keluarga hanya untuk dapat satu tanah rumah sahaja.

“Tetapi bagaimana pula dengan sekiranya satu keluarga Felda itu ada lima orang anak? Jadinya dengan inisiatif mewujudkan rumah mampu milik di luar bandar ia dapat membantu golongan muda.

“Secara peribadi, harga rumah yang ada kini membebankan sebahagian anak muda untuk memiliki rumah sendiri,” katanya ketika ditanya apa harapan anak muda sempena Belanjawan 2022 tidak lama lagi.

Jelas Ariff lagi, kesukaran golongan muda mendapatkan rumah juga disebabkan syarat yang begitu ketat ditetapkan pihak bank.

“Saya berharap kerajaan negeri dapat memperhalusi daripada segi syarat dan kelayakan untuk memiliki rumah dan boleh berbincang dengan bank untuk memberi sedikit kelonggaran terutama di luar bandar ini dalam usaha mereka untuk memiliki rumah sendiri,” ujarnya.

Di Johor, sebanyak 11,128 unit rumah mampu milik telah disiapkan sejak tahun 2018 sehingga Disember tahun lalu dengan kadar harga RM80,000 sehingga RM150,000.

Sementara itu, Pengusaha Studio KITA, Radin Mohammad Azwan Naharuddi, 29, pula berharap kerajaan tidak meminggirkan mereka yang terlibat dalam industri kreatif secara kecil-kecilan seperti dirinya dalam belanjawan kali ini.

Jelasnya, ramai bakat anak muda tempatan yang boleh ditonjolkan tetapi tidak mendapat sokongan daripada kerajaan yang kini terpaksa gulung tikar.

Golongan muda kata beliau, bukan semata-mata ingin mendapatkan modal kewangan.

Sebaliknya apa yang diharapkan adalah peluang untuk mereka mengasah dan mengembangkan bakat  diberi tumpuan oleh kerajaan negeri.

“Kita di zaman multimedia ini, setiap orang memerlukan video, memerlukan gambar jadi mereka ini boleh dijadikan antara kita tidak perlu panggil orang luar kita ada bakat kita sendiri, anak muda tempatan.

“Ada juga anak muda yang sudah dikenali di luar tetapi tidak dikenali dinegeri sendiri dan itu satu kerugian sebenarnya bakat-bakat di Johor.

“Kita utamakan anak tempatan, kita bukan kekurangan bakat, kita ada bakat cuma kita peluang itu kita tiada.

“Apa salahnya kerajaan memberi peluang kepada anak tempatan untuk kerja-kerja di negeri sendiri tanpa perlu memanggil individu tertentu atau syarikat gergasi sahaja dan kami yang kecil ini diketepikan sedangkan kami juga berbakat tetapi tidak dipandang,” ujarnya. – MalaysiaGazette