Home Eksklusif Lokasi tumpuan Pulau Pinang jadi tong sampah

Lokasi tumpuan Pulau Pinang jadi tong sampah

Sampah sarap mencemari kawasan tumpuan di Queensbay, Pulau Pinang. - Gambar FB MBPP.

GEORGE TOWN – Kawasan riadah yang kembali bersih ketika tempoh pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini mula dicemari sam­pah-sarap terutama sisa ma­kanan serta bungkusan minuman.

Ia terbukti apabila hampir empat tan sampah dikutip dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat lalu di kawasan tumpuan awam sekitar Pulau Pinang susulan aktiviti rentas negeri dibenarkan kerajaan baru-baru ini.

Antara lokasi yang dipenuhi sampah sarap bagi kawasan seliaan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) ialah Kawasan Pesiaran Karpal Singh, Queensbay, Persiaran Gurney, Teluk Bayu, Teluk Kumbar serta bawah Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Laluan basikal di Queensbay, Pulau Pinang turut dipenuhi sisa makanan serta sampah sarap. – Gambar FB MBPP

Bagi kawasan di bawah seliaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pula, Pantai Robina, Pantai Bersih, Pantai Bisik, Jeti Batu Musang, Upcycle Park serta RnR Bagan.

Mengikut rekod MBPP, sebanyak 1.5 tan dikutip dalam tempoh tersebut manakala dua tan bagi MBSP.

Berdasarkan kutipan jumlah sampah itu, ia menunjukkan sikap pengunjung yang tidak peka dengan keseimbangan alam sekitar selepas beriadah sekali gus menjejaskan imej tempat tumpuan ramai tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan paling banyak dibuang di merata-rata tempat adalah sisa makanan termasuk bungkusan makanan, botol minuman serta plastik.

Datuk Bandar MBPP, Datuk Yew Tung Seang berkata, trend pungutan sampah di kawasan tumpuan awam menunjukkan peningkatan 100 peratus susulan kebenaran rentas negeri diberikan.

Tung Seang.

Jelas beliau, sampah seberat 1.5 tan itu dikumpul pekerja pembersihan MBPP yang menjalankan tugas bermula jam 7 pagi hingga 8 malam setiap hari.

Kata Tung Seang, hasil pemantauan pihaknya mendapati kebanyakan sampah itu dibuang selepas aktiviti riadah dan santai di kawasan berkenaan.

“Kita lihat ada pengunjung tidak memasukan sampah dengan betul dalam tong yang sediakan malah meninggalkan sampah itu di atas lantai atau tempat duduk mereka sebelum beredar.

“Pihak kita lakukan pembersihan dua kali sehari manakala pungutan sampah empat kali sehari di lokasi tumpuan selain menambahnya mengikut keperluan termasuk melanjutkan waktu pungutan sampah sehingga pukul 8 malam.

“Lanjutan waktu pungutan itu sekali gus membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan tiga kali sehari,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Hampir empat tan sampah dipungut dalam tempoh tiga hari bermula Jumaat lalu susulan aktiviti rentas negeri dibenarkan.

Tambah Tung Seang, pegawai di lapangan juga akan melakukan pemantauan pembersihan setiap dua jam di lokasi tumpuan bagi memastikan tindakan serta-merta dapat diambil sekiranya longgokkan sampah bertimbun.

“Bagi  memastikan aktiviti rentas negeri diumumkan itu berjalan lancar semua cuti rehat pihak MBPP turut dibekukan agar perkhidmatan di bawah seliaan tidak terjejas,” kata beliau.

Mengulas mengenai tindakan penguatkuasaan, Tung Seang berkata, MBPP melaksanakan kempen ‘larangan membuang sampah’ pada setiap hujung minggu bagi memberi kesedaran kepada orang awam berhubung larangan membuang sampah merata-rata.

“Selalunya kita beri nasihat secara lisan namun sekiranya mereka ingkar dengan arahan pegawai MBPP tindakan kompaun akan dikenakan.

“Setakat ini, sebanyak 10 kompaun bernilai RM2,500 dikeluarkan terhadap enam pengunjung di Persiaran Gurney, Queensbay (2) dan masing-masing satu di Bukit Jambul serta Jambatan Kedua Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow meninjau kerja-kerja pembersihan di kawasan tumpuan awam sekitar Pulau Pinang baru-baru ini.

“Dalam masa sama, MBPP turut menguar-uarkan indakan yang diambil melalui Facebook rasmi bagi menyemai kesedaran dan juga untuk mendapatkan kerjasama daripada orang awam berhubung pembuang sampah,” tegas Tung Seang.

Sementara itu, Datuk MBSP, Datuk Rozali Mohamud berkata, sebelum kebenaran rentas negeri hanya satu tan sampah dikutip di lokasi tumpuan sekitar kawasan seliaan MBSP.

Rozali.

“Peningkatan pungutan sampah kini meningkat 100 peratus selain pekerja memerlukan hampir empat jam untuk melakukan kerja-kerja pembersihan di satu-satu lokasi.

“Kita dapati bungkusan makan dan minuman paling banyak ditinggalkan bersepah di kawasan tumpuan berkenaan walaupun tong sampah sudah disediakan untuk kegunaan pengunjung.

“Buat masa ini, kita masih beri teguran kepada pengunjung bersikap enteng membabitkan cara pembuang sampah yang betul dan kita juga tidak teragak-agak mengenakan kompaun sekiranya keadaan di luar kawalan,” kata Rozali. – MalaysiaGazette