JOHOR BAHRU – Hasrat sepasang suami isteri dari Perak yang ingin merentas negeri ke Johor membawa padah semalam apabila pasangan itu dikompaun RM2,000 setiap seorang kerana didapati belum lengkap vaksinasi Covid-19.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Hussin Zamora memberitahu, pasangan itu ditahan dalam satu sekatan jalan raya di Inas, Jalan Kulai – Kota Tinggi.
“Semalam terdapat satu kejadian di mana kita telah mengeluarkan kompaun kepada suami isteri disebabkan mereka tiada sijil vaksinasi lengkap.
“Hasil pemeriksaan kami dapati kedua-dua mereka bergerak dari Perak menuju ke Kulai menggunakan Jalan Inas,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Zamora berkata, polis akan mengadakan usaha pemantauan secara berterusan melalui operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekitar daerah itu.
“Nasihat saya kepada orang ramai jangan sesekali cuba melanggar peraturan yang telah ditetapkan. Tiada sebarang kompromi kepada mereka yang didapati bersalah,” katanya lagi.
Pasangan berkenaan dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.- MalaysiaGazette