KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih Kelantan United, Nazrulerwan Makmur berkongsi berita baik apabila dua pemain berpengalaman, Mohd. Badhri Radzi dan Fitri Omar dijangka akan memperkuatkan kembali cabaran Kelantan United selepas berehat panjang.
Selain pemain import dari Jepun, Shuhei Fukai akan beraksi semula.
Jelasnya, Fitri telah diturunkan berdepan Sri Pahang dan jelas pengalamannya banyak membantu pasukan terutama dalam menangani sebarang tekanan di atas padang.
“Piya (Badhri) kan turunkan dalam beberapa perlawanan persahabatan kerana dia belum bersedia sepenuhnya dan masih memerlukan masa untuk meningkatkan tahap kecergasan.
“Fukai yang mengalami keretakan di sebelah bahagian matanya semasa berdepan Negeri Sembilan, akan jalani latihan penuh dengan pasukan pada minggu ini, ” katanya.
Kelantan United buat masa ini menjadi pasukan tunggal yang belum menjaringkan gol dalam dua perlawanan TM Piala Malaysia apabila tewas 0-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC selain 0-1 di tangan Negeri Sembilan FC.
Skuad kendalian Nazrulerwan ini bakal bertemu Melaka United pada perlawanan ketiga Kumpulan C TM Piala Malaysia 2021 yang dijadualkan di Stadium Hang Jebat pada 29 Oktober. – MalaysiaGazette