BUTTERWORTH – Sebuah kilang memproses belacan yang beroperasi hampir lima tahun tanpa lesen dengan berselindung di sebalik kilang gaharu di Mak Mandin di sini diarah tutup selama 14 hari kerana terlalu kotor.
Lebih menjijikkan, terdapat tahi tikus di kawasan bekas penyimpanan barang asas pembuatan belacan itu selain anjing dibiarkan berkeliaran di kawasan jemuran belancan.
Arahan penutupan itu dikeluarkan pegawai dari Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bersama Jabatan Perlesenan dan Jabatan Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam operasi jam 11.30 pagi tadi.
Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, hasil pemeriksaan mendapati keadaan kilang memproses belacan itu tidak mengikut piawaian kebersihan ditetapkan susulan penemuan tahi tikus serta perkakasan tidak diselenggara dengan baik.
“Ketika serbuan dilakukan kita lihat belacan itu dikeringkan di atas lantai malah ada pekerja yang tidak memakai baju melakukan kerja-kerja di premis berkenaan.
“Semakan juga mendapati beberapa pekerja premis berkenaan tidak menerima suntikan typhoid,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Wazir, semakan lanjut pada kilang belacan itu juga membawa kepada penemuan beberapa kotak bungkusan yang tertera nama pengilang berbeza.
“Mereka (pemilik kilang) menggunakan nama pengilang muslim dan kita tidak menolak kemungkinan bungkusan itu disalahguna untuk menyakinkan pelanggan membeli barangan keluaran jenama tersebut.
“Selain itu, satu lagi kotak bungkusan yang temui mempunyai logo halal namun pemilik kilang gagal mengemukan dokumen sekali gus timbul keraguan berkaitan status tersebut,” katanya.
Tambah Wazir, berikutan kesalahan itu, pihaknya bertindak menutup kilang terbabit selama dua minggu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selain mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM7,000 atas beberapa kesalahan termasuk pengabaian kebersihan diri ketika mengendalikan makanan.
“Pada masa sama MBSP turut mengambil tindakan berikutan kilang itu beroperasi tanpa lesen,” katanya. – MalaysiaGazette