KUALA LUMPUR – Syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), Vantage RE Ltd. (Vantage RE) telah menandatangani Perjanjian Pembelian Saham untuk memperoleh 49 peratus pegangan syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR), sebuah subsidiari syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF).
Vantage RE dilancarkan pada 1 Julai lalu mengendalikan dan mengurus portfolio aset RE TNB di Eropah.
EDF Renewables UK dan Ireland (www.edf-re.uk) pula adalah sebahagian daripada antara syarikat elektrik terbesar dunia.
Penyertaan pertama TNB dalam pasaran ladang angin luar pesisir berikutan pemilikan aset angin BODL di perairan Blyth, Northumberland, England yang merangkumi lima turbin angin.
Ladang angin itu telah beroperasi sejak 2017 di bawah rejim subsidi Renewable Obligation Certificates (ROC) yang dijangka dapat memberi pulangan yang stabil.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemerolehan itu adalah satu daripada perancangan strategik pihaknya untuk memesatkan usaha mencapai visi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“Baru-baru ini kami telah mengumumkan Hala Tuju Kelestarian kami, satu rangka tindakan dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
“Hala tuju ini dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan TNB sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
TNB juga, kata Baharin menyasarkan untuk menambah kapasiti penjanaan RE kepada 8,300MW menjelang 2025.
Kerjasama itu diyakini dapat memanfaatkan pengalaman luas EDFR dalam sektor ladang angin luar pesisir di seluruh fokus pasaran TNB, terutamanya di UK, Eropah dan Asia Tenggara serta mempercepatkan usaha TNB untuk menjadi pembekal terunggul solusi tenaga mampan.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Kanan Kumpulan EDF (Tenaga Boleh Baharu), merangkap Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif EDF Renewables, Bruno Bensasson berkata, sebagai peneraju antarabangsa tenaga rendah karbon, pihaknya komited untuk menyumbang kepada evolusi teknologi dan persaingan dalam sektor yang sama.
“Kami berasa bertuah untuk menjalin kerjasama dengan TNB bagi Blyth, satu projek contoh bagi solusi tenaga angin luar pesisir yang khusus.
“TNB dan EDF berkongsi matlamat yang sama untuk menyumbang ke arah masyarakat rendah karbon,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Justeru, menurut Bensasson, melalui kerjasama ini, pihaknya membayangkan kerjasama lanjut untuk penjanaan elektrik rendah karbon di benua Eropah seperti yang dipamerkan menerusi Blyth dan di Asia pada masa depan.
TNB telah melabur dalam pasaran solar dan angin di UK sejak 2017 dan dengan penambahan terbaharu ini, TNB akan mengendalikan hampir 450 megawatt (MW) pelaburan RE (ladang angin dan solar) di UK.- MalaysiaGazette