Home Utama Kilang tauhu kotor, meloyakan dapat notis tutup 14 hari

Kilang tauhu kotor, meloyakan dapat notis tutup 14 hari

Keadaan dalam premis kilang tauhu di Tasek Gelugor yang kotor dan tidak terurus.

SEBERANG PERAI – Lantai kotor, najis tikus merata-rata, sisa bahan mentah diletakkan atas lantai dan mesin memproses pula dipenuhi lalat.

Itulah keadaan sebuah kilang memproses tauhu yang terletak di Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini ketika diserbu oleh penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP).

Dengan keadaan kilang yang kotor dan meloyakan itu, ia telah diarah tutup selama 14 hari.

Seorang pekerja kilang tauhu meneruskan kerjanya ketika premis tersebut diserbu pihak berkuasa.

 

Cara pemprosesan yang menjijikkan itu terbongkar selepas BKKM JKNPP menyerbu kilang berkenaan pada jam 10 pagi tadi.

Serbuan itu dibuat selepas BKKM JKNPP mendapati pemilik kilang berkenaan masih gagal mematuhi piawai kebersihan yang ditetapkan walaupun sudah diberi amaran melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pada dua bulan lalu.

Ketua Bahagian BKKM negeri, Mohd Wazir Khalid berkata, hasil pemeriksaan pihaknya hari ini mendapati keadaan di kawasan memproses tauhu itu sangat kotor, selain menemui najis tikus di dalam stor simpanan bahan mentah.

Mohd Wazir Khalid

Jelas beliau, semakan juga mendapati lebihan tauhu dibiarkan atas lantai dengan para pekerja dilihat menggunakan peralatan yang tidak diselenggara dengan baik untuk memproses tauhu berkenaan.

“Kita sudah serbu kilang ini dua bulan lalu dan amaran sudah diberikan agar pemilik premis memperbaiki kesalahan mereka.

Wazir (kanan) menunjukkan kain kotor yang digunakan pekerja kilang dalam memproses tauhu ketika serbuan dilakukan di kilang di Tasek Gelugor, hari ini.

“Bagaimanapun, dalam serbuan hari ini kita dapati keadaan premis terlalu kotor dan tauhu yang siap diproses turut dihurungi lalat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Difahamkan tauhu yang siap diproses di kilang ini dijual di pasar-pasar sekitar utara tanah air.

Peralatan yang digunakan untuk membuat tauhu kelihatan kotor dan tidak diselenggara dengan baik.

Wazir berkata, majikan kilang ini juga gagal memastikan pekerjanya menerima suntikan tifoid serta tidak memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

“Secara keseluruhannya, kilang yang telah beroperasi hampir 10 tahun itu didapati gagal untuk mematuhi semua kehendak kesihatan ditetapkan sebagai kilang yang menjalankan perniagaan menyedia dan memproses makanan.

“Justeru, notis penutupan kilang kilang selama 14 hari diberikan untuk pemilik memastikan mematuhi piawai ditetapkan dan jika lawatan susulan berpuas hati dengan tahap kebersihan, kilang dibenarkan beroperasi.

“Tetapi jika keadaan kilang masih tidak memuaskan maka arahan tutup dilanjutkan,” tegasnya.

Kilang tauhu itu ditutup selama 14 hari.

Selain itu, pihaknya turut mengeluarkan tiga kompaun atas beberapa kesalahan lain berjumlah RM4,000, tambah Wazir.

Sementara itu, MalaysiaGazette difahamkan beberapa pekerja warga asing kilang berkenaan yang dipercayai tidak mempunyai dokumen pengenalan diri bertindak melarikan diri sebaik sahaja melihat kehadiran pihak berkuasa. – MalaysiaGazette