Home Nasional Pasukan khas JPN siasat dakwaan kematian individu usia 90 tahun tidak didaftar

Pasukan khas JPN siasat dakwaan kematian individu usia 90 tahun tidak didaftar

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin bercakap pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Ketua Polis Negara yang baharu di Kementerian Dalam Negeri, Putrajaya. Foto SYAFIQ AMBAK, 30 APRIL 2021.

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) telah menubuhkan satu Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan kematian individu berusia 90 tahun ke atas di negara ini yang tidak didaftarkan dalam sistem JPN.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pasukan khas ini akan menyemak dan mengemas kini maklumat mana-mana individu bagi mengesahkan status sebenar sama ada masih hidup atau sudah meninggal dunia.

Menurutnya, pada masa ini terdapat 63,620 individu yang berusia 90 tahun ke atas yang masih hidup dalam rekod JPN.

Antara pendekatan yang digunakan untuk mengesan status mereka ini adalah dengan menghubungi waris terdekat dan mencari mereka mengikut alamat terakhir yang didaftarkan dengan JPN, katanya lagi.

”Jika didapati mereka ini sudah meninggal dunia berdasar pengesahan waris atau pihak-pihak tertentu, JPN akan mendaftarkan kematian mereka berdasarkan perundangan sedia ada,” katanya ketika berucap bersempena Sambutan Hari Pendaftaran Negara 2021, 73 Tahun: Transformasi Digital yang diadakan secara maya hari ini.

Dalam majlis itu, Hamzah mengumumkan pencapaian pertama 100 hari Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Kementerian Dalam Negeri selepas selesai membangunkan Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM).

Sistem tersebut merupakan perkongsian pintar di antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan juga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPDIM merupakan satu integrasi di antara sistem JPN dan Police Reporting System (Sistem Laporan Polis – PRS) yang melibatkan 690 balai polis di Semenanjung Malaysia.

“Sistem ini akan memudahkan proses pengesahan kematian yang dilapor di semua balai polis,” katanya.

Beliau berkata, pengesahan itu adalah kematian yang bukan berunsur jenayah di rumah.

Melalui sistem ini juga, JPN akan membuat pengesahan kematian ini secara dalam talian, sekali gus mempercepatkan proses pendaftaran dan pengeluaran sijil kematian kepada waris.

“Sebelum ini, rakyat perlu menunggu untuk mendapatkan sijil kematian, namun dengan adanya sistem integrasi ini, sijil kematian boleh dikeluarkan pada hari sama kematian dilaporkan di balai polis,” ujar beliau.

Hamzah berkata, SPDIM telah membuktikan KDN dan JPN sentiasa peka dengan keperluan semasa rakyat dan bersedia membangunkan sistem-sistem lain yang diperlukan. – MalaysiaGazette