Home Politik Henti agungkan 4 ADUN pengkhianat – AMK Sabah

Henti agungkan 4 ADUN pengkhianat – AMK Sabah

Razeef Rakimin

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah mengecam tindak-tanduk pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti Tian Chua dan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin yang didakwa terlalu mengagungkan keempat-empat ahli dewan undangan negeri pengkhianat sehingga menimbulkan rasa jijik dan marah rakyat terhadap parti ini dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Penerangannya, Razeef Rakimin berkata, sejak berlakunya krisis politik Melaka, PH sering terpalit dengan tuduhan menjadi punca krisis politik di negeri itu walaupun langkah pengkhianatan itu dilakukan oleh ahli dewan undangan negeri (ADUN) dari UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan bebas.

Empat ADUN itu ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (UMNO-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (UMNO-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Tegasnya, tindakan mengagungkan empat ADUN ini menyebabkan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dikatakan gelojoh serta melanggar perjanjian sefahaman yang ditandatangani antara pihak kerajaan dan pemimpin PH..

Menurut beliau, PKR sepatutnya menjauhkan diri dari kelompok mereka yang mempunyai agenda politik peribadi tanpa mengambil peduli situasi semasa apatah lagi negara sedang berusaha keluar dari pandemik Covid-19.

Bahkan, katanya, sekutu PKR dalam PH iaitu DAP juga dilihat kurang senang dengan tindakan mengagungkan Norhizam yang sifatkan sebagai jijik memandangkan Norhizam merupakan bekas ADUN DAP yang menjadi salah seorang punca tumbangnya kerajaan PH Melaka.

”Bagi AMK, tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip perjuangan PKR serta menghina pejuang parti.

”Oleh itu akar umbi menolak sebarang usaha sama ada menerima permohonan mereka menyertai PKR atau menjemput mereka menyertai parti ini,” katanya dalam kenyataan di sini.

Razeef menambah, akar umbi juga menolak sekiranya ada di antara empat bekas ADUN ini diangkat sebagai calon sekutu sama ada dalam PH mahupun bebas.

Sebaliknya, tegas beliau, kesemua kerusi DUN di negeri Melaka perlu ditandingi oleh PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (PAN) mengikut agihan kerusi.

”Jika pemimpin-pemimpin PKR masih mengagungkan keempat-empat pengkhianat ini, kita tidak menolak kemungkinan penolakan rakyat terhadap PKR dan PH kerana jelas telah menghina prinsip yang diperjuangkan,” tegasnya. – MalaysiaGazette