KUANTAN – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah terhadap 27 pertuduhan atas dakwaan menyembunyikan wang orang lain menerusi syarikat pelaburan tidak wujud berjumlah RM2.8 juta.
Tertuduh, Ng Kai Seng, 26, On Hui Lin, 34, dan Low Kheh Sheng, 24, membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd. Suah pagi tadi.
Tertuduh Kai Seng didakwa dengan 10 pertuduhan manakala Hui Lin 16 pertuduhan dan Kheh Sheng satu pertuduhan.
Ketiga-tiga mereka tidak diwakili peguam.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Azrin Wan Zaid.
Ketiga-tiga tertuduh didakwa dengan tidak jujur menyembuyikan wang kepunyaan Tok Kai Soon antara bulan Mei hingga Jun lalu di Pelindung Heights, Kuantan.
Mengikut kertas pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh menyembunyikan wang kepunyaan mangsa yang dipindahkan ke akaun bank individu dan syarikat milik mereka.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Ketiga-tiga tertuduh dibenarkan ikat jamin dengan jumlah keseluruhannya RM57,000 dengan Kai Seng ditawarkan jaminan sebanyak RM22,000, Hui Lin RM32,000 dan Kheh Seng RM3,000.
Mahkamah menetapkan 17 November ini sebagai tarikh sebutan semula kes. – MalaysiaGazette