KOTA BHARU – Kawasan fenomena air surut sehingga menampakkan beting pasir dan membuatkan laut kelihatan seolah-olah terbelah di Pantai Mek Mas, Kuala Besar, di sini ditutup kepada orang ramai sejak Isnin lepas.
Tinjauan Bernama mendapati tanda amaran bahaya diletakkan di kawasan berkenaan berserta pita amaran kuning dan bendera merah bagi memberi peringatan kepada orang ramai agar menjauhi kawasan itu.
Penghulu Mukim Che Latif, Zinuddin Daud, 58, berkata kawasan fenomena yang menjadi tarikan baharu kepada masyarakat sejak sebulan lalu sehingga tular di media sosial, ditutup atas faktor keselamatan.
“Kita khuatir ia akan menyebabkan ombak yang besar secara tiba-tiba atau air pasang terutamanya pada musim tengkujuh iaitu pada November atau Disember.
Kita ambil langkah awal (berjaga-jaga) menutup kawasan ini memandangkan ketika tular tempoh hari jumlah pengunjung ke kawasan berkenaan mencecah hampir 500 orang pada hari minggu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pantai Mek Mas, di sini hari ini.
Sementara itu, seorang pengunjung Nur Athirah Zulkaain , 28, dari Kampung Tok Sangkut, Pasir Mas, berkata beliau berkunjung ke situ untuk melihat sendiri fenomena yang tular itu.
“Saya mengambil peluang untuk melihat fenomena yang tular di media sosial Facebook dan juga Tik Tok ini, namun tidak menyangka kawasan ini telah ditutup kepada orang ramai.
Namun, tidak mengapa memandangkan penutupan ini demi menjaga keselamatan pengunjung,” katanya yang bekerja di Kuala Lumpur.
Fenomena “laut terbelah” itu menarik perhatian orang ramai dan pengunjung tidak melepaskan peluang untuk memuat naik rakaman pengalaman mereka berjalan melalui kawasan itu di media sosial. – MalaysiaGazette