SEOUL – Korea Utara menyifatkan Amerika Syarikat (AS) bertindak balas berlebihan terhadap ujian peluru berpandunya baru-baru ini dan mempersoalkan ketulusan tawaran rundingan Washington.
Ujian peluru berpandu balistik baharu dari kapal selam pada minggu ini adalah sebahagian daripada rancangan jangka panjang Korea Utara untuk meningkatkan pertahanan dan tidak ditujukan kepada AS atau negara lain, kata jurucakap Pyongyang yang enggan dikenali, menurut agensi berita, KCNA seperti dipetik Reuters.
Washington mengambil langkah yang terlalu provokatif dengan menyatakan ujian itu melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangs Bersatu (PBB) dan ancaman terhadap keamanan dan kestabilan wilayah, kata jurucakap itu.
Majlis Keselamatan bermesyuarat pada hari semalam atas permintaan AS dan Britain.
AS mendesak Pyongyang untuk menerima tawaran rundingan dan mengulangi saranan bahawa Washington tidak mempunyai niat menentangnya.
Jurucakap Kementerian Luar Korea Utara itu berkata, kecaman AS terhadap pembangunan peluru berpandu tersebut menimbulkan keraguan.
“Jelas bahawa Amerika Syarikat mengecam kita kerana membangun dan menguji sistem senjata yang sama yang telah atau sedang dikembangkannya, dan itu hanya menambah kecurigaan terhadap keikhlasan mereka setelah mengatakan mereka tidak memusuhi kita,” kata jurucakap itu dalam kenyataan yang dipetik KCNA.
AS dan Majlis Keselamtan boleh menerima padah yang lebih teruk dan serius jika mereka memilih tingkah laku yang salah, kata jurucakap itu, sambil memberi amaran agar tidak ‘bermain bom jangka’. – Agemsi