Home Dunia Gunung berapi La Palma masih aktif

Gunung berapi La Palma masih aktif

Lava gunung berapi Cumbre Vieja masih aktif selepas sebulan meletus. foto Reuters

MADRID – Letusan gunung berapi Cumbre Vieja di Pulau La Palma masih lagi aktif, memasuki bulan kedua pada hari Selasa dan pakar-pakar memberi amaran ia akan terus memuntahkan lawa dalam jangka pendek dan sederhana.

Lebih 7,000 daripada 85,000 penduduk telah dipindahkan dari kediaman mereka sejak awal letusan pada 19 September lalu setelah gempa bumi melanda pulau yang terletak di kepulauan Pulau Canary.

Sepanjang letusan selama 31 hari, gunung berapi itu mengeluarkan 80 juta meter padu lava yang meliputi lebih daripada 800 hektar tanah di pulau itu yang memiliki luas permukaan hanya 708,32 km persegi.

Dalam perjalanannya ke pantai, lava telah terbelah menjadi empat saluran yang berlainan dan telah memusnahkan hampir 300 hektar tanah pertanian, termasuk 52 hektar kebun anggur dan 128 hektat yang dikhaskan untuk ladang pisang – tanaman utama di pulau ini.

Hampir 2,000 bangunan telah musnah.

Salah satu aliran telah sampai ke laut dan menciptakan sekitar 40 hektar daratan baharu sementara aliran kedua dijangka sampai ke lautan “dalam tempoh beberapa jam’.

“Kami melakukan segala yang mungkin dilakukan, hampir mustahil mengekang kerosakan,” kata Angel Victor Torres, Presiden Wilayah Kepulauan Canary, ketika lava bergerak melalui bandar La Laguna.

Sementara itu pulau itu terus digemparkan oleh gempa bumi berterusan yang mana lebih dari 35,000 telah diukur sejak awal, dengan gegaran terkuat 4.8 pada skala Richter. – Xinhua