Home Nasional Dokumen risiko bencana akan diterbitkan – PM

Dokumen risiko bencana akan diterbitkan – PM

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Satu dokumen mengenai risiko dan pengurusan bencana akan diterbitkan oleh kerajaan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, ia selepas beberapa bencana seperti banjir besar berlaku kepada negara terutamanya bencana aliran deras di kawasan Gunung Jerai, Kedha pada 18 Ogos lalu.

“Kesemua strategi pelan tindakan dan program yang terkandung dalam National Risk Register (NRR) akan diperluaskan kepada semua sektor dalam negara antaranya termasuklah sektor pembangunan, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.

“Langkah ini berpandukan instrument global sendai framework for disaster risk reduction dan Paris agreement for climate change sebagai ikhtiar negara mencapai aspirasi sustainable development goals,” katanya ketika berucap pada Webinar ‘Risiko Bencana di Era Perubahan Iklim’ secara maya, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abdul Latiff Ahmad dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Dokumen National Risk Register (NRR) dihasilkan NADMA dengan kerjasama Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara di Universiti Kebangsaan Malaysia, (SEADPRI-UKM).

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, dokumen terbabit bakal dilancarkan beliau pada 28 Oktober ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan memandang serius mengenai impak perubahan iklim dan peningkatan kesan bencana pada masa akan datang.

“Perkara itu ditekankan dalam Strategi Utama Rancangan Malaysia ke-12, iaitu untuk meningkatkan daya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana ke arah melestarikan agenda pertumbuhan hijau negara,” katanya.

Perdana Menteri berkata, penggubalan Dasar Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan yang sedang dilaksanakan oleh NADMA akan merangkumi penambahbaikan kefahaman agar ia seiring usaha meningkatkan pelaburan kepada negara.

Inisiatif itu diyakini dapat mengurangkan risiko bencana dari aspek kapasiti sumber manusia, pemerkasaaan institusi, perluasan langkah mitigasi, aplikasi teknologi dan memperhebatkan langkah kesiapsiagaan di seluruh negara. – MalaysiaGazette