Home Seni Hidup Masyarakat Orang Asli mahu liputan jalur lebar, telekomunikasi

Masyarakat Orang Asli mahu liputan jalur lebar, telekomunikasi

Jai

MERSING – Liputan internet dan telekomunikasi yang lemah di Perkampungan Orang Asli Peta di sini menyebabkan penduduk di kawasan itu terpaksa berdepan pelbagai kesukaran termasuk tidak dapat dihubungi sekiranya berlaku kecemasan.

Salah seorang penduduknya, Jai Kemalok,29, berkongsi kenangan pahit apabila jirannya sukar menghubunginya ketika kematian ibunya enam tahun lepas.

“Masa itu saya melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah, masa itu memang line  untuk menghubungi saya untuk maklumkan arwah emak saya meninggal masa itu.

“Saya hanya dapat tahu bila pukul 11 malam pada tahun 2014,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Jai, masalah jalur lebar dan telekomunikasi di kawasan perkampungan Orang Asli Kampung Peta bukan satu cerita baharu kerana sudah bertahun lamanya mereka masih ketinggalan.

Situasi sama turut dikongsi seorang lagi ibu beranak dua, Ani Kamal, 32, apabila dia juga gagal dihubungi suaminya yang ketika itu terpaksa menanggung kesakitan ketika berada di luar kampung berkenaan.

Ani Kamal

Beliau berkata, dia hanya mengetahui suaminya dimasukan ke hospital setelah dua hari selepas kejadian tersebut.

“Baru-baru ini suami masuk hospital dia mengalami slip dics, so dia nak contact saya tidak dapat, kejadian berlaku dua hari lepas baru saya dapat tahu itu pun bila saya keluar ke jalan ladang.

“Masalah di sini ialah rangkaian lemah. Internet kadang-kadang ada, kadang line telefon pun lemah. Jadi apa yang perlu dilakukan penduduk perlu bawa kenderaan pergi ke jalan ladang ambil  masa satu jam untuk dapatkan line telefon.

“Saya ahli jawatankuasa penduduk, ada masa JAKOA (Jabatan Kebajikan Orang Asli) telefon saya ada tugasan jadi saya kena ulang alik dari sini ke sempadan dua hari sekali ,tiga hari sekali untuk dapatkan line internet atau line telefon,” katanya.

Selain itu, menurutnya,, penduduk terpaksa berdepan risiko dengan binatang buas seperti harimau dan gajah liar setiap kali ingin ke luar ke ladang iaitu melalui jalan utama bagi mendapatkan talian internet yang bagus.

Bagi penduduk di Kampung Peta, liputan jalur lebar dan talian telekomunikasi lebih baik antara yang diharapkan mereka terutama dalam pembentangan belanjawan negeri dan kerajaan Pusat tidak lama lagi.

Jelas mereka, kemudahan itu merupakan satu keperluan penting lebih-lebih lagi sebahagian anak-anak mereka juga terlibat dengan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah. – MalaysiaGazette