KUALA LUMPUR – Selepas pelakon popular Fauzi Nawawi, giliran seorang lagi rakannya, Khir Rahman tampil memohon maaf terhadap isu babak rogol dalam filem Anak Halal yang menjadi kontroversi membabitkan pelakon wanitanya iaitu Raja Farah.
Menerusi Instagram miliknya, Khir berkata, dia bersama tetamu undangan dalam rancangan yang dihoskannya itu tidak berniat langsung untuk membuka aib sesiapa.
“Justeru.. saya ingin sekali lagi memohon maaf pada beliau dan seluruh keluarga beliau ..bahawa saya menjadi ‘sauh’ dalam program ini bukan utk membuka aib sesiapa.
“Sedikit pencerahan, sebagai ‘sauh’, tugas saya dan beberapa teman mengacara adalah utk mencungkil cerita-cerita yang belum pernah diceritakan oleh tetamu di platform lain (rancangan lain) ..ada masanya berjaya dicungkil dan ada masa-masanya tidak.
“Kebanyakan tetamu sangat sporting dan telah memberi kerjasama yang baik. Saya percaya mereka yang pernah menonton rancangan ini sangat hargai keterbukaan tetamu dalam berkongsi cerita ..kita ketawa dan menangis bersama menontonnya.
“Oleh kerana itu saya juga percaya semua pihak bersetuju untuk merakam terlebih dahulu dan bukan dibuat secara langsung.. tujuannya supaya ada bahagian-bahagian keterlanjuran kata-kata yang boleh ditapis,” tulisnya.
Kelmarin, Raja Farah serta suaminya meluahkan rasa tidak puas hati apabila Fauzi menerusi sebuah program televisyen yang dihoskan oleh Khir telah berbicara mengenai babak rogol dalam filem Anak Halal.
Raja Farah dah suaminya menyatakan tindakan Fauzi itu adalah perkara yang sangat memalukan serta tidak menjaga aib dan kehormatan seorang wanita.
Menurut Khir, dia juga bersyukur kerana Raja Farah dan suaminya mempunyai hati yang mulia untuk memaafkan keterlanjuran yang telah dilakukannya itu.
Sementara itu, Khir secara peribadi juga memohon agar penyebaran video tersebut yang kini viral di media sosial dapat dihentikan serta merta.
“Saya tak pasti kalau ada pihak yang tidak berpuas hati pada mana-mana pihak namun penularan video tersebut mesti dihentikan segera, ada keterlanjuran dan maruah yang perlu kita sama-sama jaga,” tegasnya.- MalaysiaGazette