Home Utama Bajet 2022: Jika sukar teruskan moratorium, berilah diskaun – Wan Saiful

Bajet 2022: Jika sukar teruskan moratorium, berilah diskaun – Wan Saiful

KUALA LUMPUR – Ketua Sekretariat Ketua-Ketua Penerangan daripada parti kerajaan, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, kerajaan perlu membenarkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) meneruskan moratorium bersasar kepada peminjam yang terkesan oleh Covid-19.

Beliau berkata, jika moratorium sukar dilaksanakan, kerajaan patut memberikan diskaun.

“Ini salah satu daripada tiga cadangan yang saya kemukakan. Diskaun perlu diberikan paling kurang 20 peratus kepada peminjam yang membuat bayaran penuh.

“Saya juga minta agar diskaun ini diberi kepada mereka yang membayar menggunakan potongan terus secara bulanan sebagai penghargaan kepada mereka yang membayar mengikut jadual,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, satu sesi dialog di antara Ketua-ketua Penerangan daripada parti-parti dalam kerajaan bersama Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membincangkan mengenai Bajet 2022 telah diadakan malam tadi.

Wan Saiful berkata, pemberian diskaun ini merupakan perkara yang popular dan sering disebut dalam sesi-sesi libat urus yang dijalankan.

“Saya harap kerajaan akan pertimbangkan perkara ini untuk Bajet 2022,” katanya yang turut menyerahkan surat rasmi selaku Pengerusi PTPTN kepada Tengku Zafrul mengenai perkara ini.

Bajet 2022 akan dibentangkan pada 29 Oktober depan di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette