KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas dipelawa untuk menebus Baucar Pelancongan Selangor 2.0 bernilai RM100 menerusi aplikasi beli-belah Shopee sehingga 31 Disember depan.
Menerusi hantaran di Facebook, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri menawarkan 10,000 baucar sempena kempen Pusing Selangor Dulu yang sah digunakan sehingga 30 Jun tahun depan.
Baucar yang boleh ditebus mulai semalam boleh digunakan untuk membeli lebih 170 pakej pelancongan menarik yang ditawar 35 agensi pelancongan negeri.
Tourism Selangor menjelaskan baucar itu terhad kepada satu transaksi dan tidak boleh diganti produk lain.
Baucar tersebut yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 dilancar Exco Pelancongan Hee Loy Sian pada 5 Oktober.
Dengan peruntukan RM2.55 juta, fasa pertama program berlangsung mulai Januari yang menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai. – MalaysiaGazette