Home Dunia 10 duta diisytihar “persona non grata”- Presiden Turki

10 duta diisytihar “persona non grata”- Presiden Turki

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan

ANKARA – Presiden Recep Tayyip Erdogan mengarahkan menteri luar Turki mengisytiharkan 10 duta sebagai “persona non grata” selepas mereka mengeluarkan kenyataan mendesak seorang ahli perniagaan yang dipenjarakan agar dibebaskan, lapor Xinhua.

“Saya telah beri arahan kepada menteri luar. Saya beritahu apa apa mesti dilakukan. Sepuluh duta ini mesti diisytiharkan sebagai persona non grata. Anda perlu selesaikannya segera,” kata Erdogan pada Sabtu.

Pada Selasa, Kementerian Luar Turki memanggil 10 duta berkenaan susulan kenyataan mereka yang menggesa pembebasan aktivis dan ahli perniagaan Osman Kavala.

“Bersama-sama, kedutaan Kanada, Perancis, Finland, Denmark, Jerman, Belanda, New Zealand, Norway, Sweden dan Amerika Syarikat percaya penyelesaian yang adil dan segera untuk kes ini mestilah selaras dengan kewajipan antarabangsa dan domestik Turki.

“Berdasarkan keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah mengenai perkara itu, kami menyeru Turki segera bebaskan dia (Osman Kavala),” menurut duta berkenaan pada Isnin.

Kavala dipenjara atas tuduhan terlibat dengan rampasan kuasa pada 2016 dan tunjuk perasaan antikerajaan pada pada 2013.- BERNAMA