Home Nasional Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 buka tirai hari ini

Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14 buka tirai hari ini

The Special Dewan Rakyat Sitting at the Parliament in Kuala Lumpur. PIX COURTESY OF THE DEPARTMENT OF INFORMATION / 26 JULY 2021. motion of confidence motions no confidence Supply Bill 2022 Budget
Dewan Rakyat - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-14  membuka tirainya hari ini dengan tumpuan antaranya membahas dan meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan ordinan-ordinan darurat.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Perdana Menteri akan mencadangkan perkara itu dan antara ordinan terlibat ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Selain itu mesyuarat kali ini juga bakal menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijangka dibentangkan di Parlimen, esok (26 Okt).

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan pada 23 Okt yang turut menyatakan bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dijadualkan semula ke tarikh lain daripada rancangan awal pada 28 Okt.

Pada 18 Okt, Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan Wan Junaidi untuk mentakrifkan semula beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dalam konteks MA63.

Turut menjadi tumpuan pada mesyuarat kali ini ialah Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2022 oleh Menteri Kewangan pada Jumaat, 29 Okt, pukul 4 petang.

Berdasarkan takwim mesyuarat Dewan Rakyat, rang undang-undang itu dijadual dibahaskan di peringkat dasar selama tujuh hari dan akan dijawab oleh menteri selama empat hari sebelum dibahaskan di peringkat jawatankuasa selama 13 hari.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Disember. – MalaysiaGazette