Home Nasional Ganabatirau tidak patut maki kakitangan JPS – Penganalisis

Ganabatirau tidak patut maki kakitangan JPS – Penganalisis

KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V. Ganabatirau yang memaki hamun pegawai dan kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) seperti yang tular tidak sepatutnya berlaku.

Ini kerana sikap beliau yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Kemuning telah menjatuhkan air muka kakitangan awam terbabit dan perkara itu sepatutnya boleh diselesaikan dengan baik menerusi rundingan, kata penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman Yusof.

“Terkejut melihat rakaman video ADN Kota Kemuning dari DAP merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Kerajaan Negeri Selangor, YB Ganabatirau A/L Veraman, memaki pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana tidak berpuas hati dengan isu banjir di Taman Sri Muda.

“Tertanya-tanya bagaimana agaknya perasaan pegawai JPS tersebut bila dimaki secara terbuka oleh ADN DAP ini dengan kata-kata seperti, kerja bodoh macam ini, tak boleh buat kerja, tak tahu baca punya orang, macam bodoh punya kerja.

“Sudahlah dimaki secara terbuka, rakaman video pegawai JPS tersebut dimaki secara terbuka juga disiarkan di laman Facebook ADN DAP ini untuk tujuan yang beliau sahaja tahu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr. Kamarul Zaman Yusoff

Menurut Kamarul Zaman lagi, tidak dinafikan mungkin pegawai JPS terbabit ada melakukan kesilapan, namun tindakan Ganabatirau itu tidak wajar, apatah lagi beliau sendiri memuat naik rakaman video di laman Facebooknya untuk dihebahkan.

“Tidak sepatutnya Ganabatirau selaku Exco Kerajaan Negeri berbuat begitu kerana ia mengaibkan penjawat awam, malah boleh menimbulkan ketegangan perkauman kerana yang dihina adalah pegawai berbangsa Melayu.

“Bukankah lebih wajar untuk ADN DAP ini mengawal kemarahan beliau dan bertindak profesional dengan membawa masalah tersebut untuk dibincangkan di peringkat tertinggi?

“Sewajarnya DAP mengarahkan beliau memohon maaf secara terbuka segera kepada penjawat awam tersebut jika DAP mahukan undi penjawat awam dalam PRU15,” ujarnya.

Menurut Kamarul Zaman, atas perlakuan biadab itu, Ganabatirau wajar dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Bagaimanapun kata beliau, hukuman di bawah akta tersebut terlalu ringan dan sudah tiba masanya akta itu dipinda supaya tidak ada pihak yang memandang ringan kepada kesalahan sebegitu.

“Jika pemimpin DAP sudah boleh berkelakuan begini bila hanya berkuasa di peringkat negeri, bagaimanalah agaknya perlakuan mereka jika mereka kembali berkuasa di peringkat pusat?” tambahnya.

Perkara itu turut mendapat perhatian, seorang lagi penganalisis politik, Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang melahirkan rasa simpati terhadap kakitangan JPS terbabit.

Ridhuan Tee Abdullah
Mohd. Ridhuan Tee Abdullah.

Menerusi catatan di Facebook, Mohd Ridhuan berkata, sebagai pemimpin politik bertaraf exco tidak sepatutnya Ganabatirau menghamburkan kata-kata kasar terhadap staf JPS terbabit atas kesalahan yang bukan dilakukan oleh mereka.

“Tetapi itulah yang berlaku. Baharu berkuasa dan berjawatan exco peringkat negeri tidak sampai sepenggal sudah begitu kurang ajar. Bayangkan jika mereka masih berkuasa di peringkat pusat.

“Apakah dengan jawatan exco, ultra (kiasu) ini ingat dia boleh berkelakuan ikut suka? Apakah dengan jawatan exco kamu boleh lakukan apa sahaja termasuk memarahi dan menghina orang lain.

“Apakah kamu ingat jawatan exco itu terlalu besar? Milik bapa kamu?

“Maaflah, saya tidak boleh lagi berlembut dengan ultra kiasu sebegini. Kaduk sudah naik junjung,” katanya.

Justeru, beliau meminta JPS tidak berdiam diri membiarkan kakitangan mereka dihina sedemikian rupa,
sebaliknya, pihak tersebut perlu mempertahankan warganya.

“Sudah sampai masanya, rakyat mengajar keceluparan, kebongkakan dan kesombongan ADUN ultra kiasu ini dalam PRU15 akan datang,” tambah beliau. – MalaysiaGazette