BANGI – Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mendakwa akan wujud gerakan parti-parti menganjurkan majlis perkahwinan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi menggerakkan kempen pilihan raya selepas 8 November depan.
Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata berkata, tidak mustahil penganjuran majlis ]erkahwinan dijadikan platform untuk berkempen memandangkan terdapat larangan berbuat demikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Hari ini saya sudah dengar kalau kerajaan tak benarkan parti politik mengadakan perhimpunan dan sua muka, tetapi di majlis seperti majlis perkahwinan, hari jadi akan dijadikan oleh parti politik untuk digunakan bersua muka.
“Saya juga bimbang kerana akhirnya apapun yang KKM melalui pakar kesihatan cadangkan tidak diikuti kerana kita menggunakan ruang yang ada dalam SOP itu untuk kepentingan kita dan akhirnya akan merugikan rakyat,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menghadiri seminar Anti-Doping Kebangsaan 2021, di sini, hari ini.
Semalam, KKM mengeluarkan arahan melarang mengadakan aktiviti perhimpunan, majlis sosial dan pelancaran jentera pilihan raya sepanjang kempen PRN Melaka.
Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, larangan itu bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19 dan peningkatan kes secara mendadak akibat aktiviti berkenaan.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tambun itu menggesa agar parti-parti politik yang akan bertanding untuk tidak mempertaruhkan nasib pengundi-pengundi di DUN Melaka demi kepentingan politik mana-mana pihak.
“Saya gesa kepada semua ahli politik dan parti-parti politik supaya letakkan kepentingan dan keselamatan kesihatan rakyat itu sebagai keutamaan yang paling tinggi kerana tidak ada gunanya kita berjaya dalam PRN tapi dijangkiti Covid-19.
“Tidak ada gunanya kita menang, jadi itu adalah keutamaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, Bersatu akur dengan ketetapan KKM mengenai larangan mengadakan aktiviti perhimpunan, majlis sosial dan pelancaran jentera pilihan raya sepanjang kempen PRN Melaka.
Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berpendapat, larangan itu adalah untuk kepentingan rakyat khususnya pengundi-pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
“Bersatu bila sudah dapat SOP baharu itu kita akan patuh dengan nasihat sebab SOP ini adalah untuk kepentingan kita bukan mana-mana pihak.
“Akan ada cara lain untuk kita berjumpa dengan rakyat dengan menggunakan sosial media, dan pelbagai cara lain untuk kita tunjukkan kepada rakyat pelkenalkan manifesto kita dan sebagainya.
“Kalau kita buat kerja dengan niat demi rakyat, Allah akan permudahkan, tidak ada apa yang perlu kita takutkan,” katanya.
PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 20 November, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 8 November dan tarikh mengundi awal pada 18 November sementara tempoh berkempen adalah 12 hari. – MalaysiaGazette