KUANTAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pahang melupuskan tiga bot nelayan asing Vietnam bernilai RM 4.5 juta yang ditahan atas kesalahan menceroboh perairan negara.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi),Laksamana Madya Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, ketiga-tiga bot berkenaan ditenggelamkan sebagai tukun tiruan di sekitar Pulau Tioman, hari ini.
Semua bot yang dilucut hak itu ditahan oleh Kapal Maritim (KM) Langkawi serta bot Penggalang 14 atas kesalahan menceroboh dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran di perairan Pahang pada tahun lalu.
“Setelah didapati bersalah dan dilucut hak oleh mahkamah, Maritim Malaysia memutuskan untuk melupuskan bot-bot ini secara menenggelamkannya sebagai tukun tiruan di perairan Pulau Tioman.
“Tiga bot yang dilupuskan ini dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan pelupusan ini juga dapat mengurangkan kesesakan bot- bot tahanan asing di Jeti Pusat Tahanan Vesel,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, masih terdapat sembilan bot nelayan asing lagi di bawah pengawasan Maritim Negeri Pahang yang akan dilupuskan setelah mendapat perintah dari mahkamah.
Untuk rekod, proses melupuskan ketiga-tiga bot ini dengan menenggelamkan sebagai tukun tiruan merupakan julung kali dilaksanakan di Pulau Tioman oleh Maritim Negeri Pahang.
“Proses penenggelaman bot sebagai tukun tiruan ini mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT) dalam memastikan kesesuaian lokasi serta tidak menjejaskan biodiversiti marin dan memberikan manfaat kepada nelayan pesisir pantai.
“Kawasan terbabit dijadikan habitat baharu ekosistem marin dan sebagai peranti pemuliharaan biodiversiti marin dan menjadi tempat perlindungan dan sumber makanan kepada hidupan laut,” katanya.
Kamaruszaman berkata, Maritim Malaysia sentiasa berusaha memastikan perairan negara selamat kepada komuniti maritim dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. – MalaysiaGazette.