Home Nasional Takiyuddin patut akui silap umum darurat tamat tanpa perkenan Agong – Salahuddin

Takiyuddin patut akui silap umum darurat tamat tanpa perkenan Agong – Salahuddin

Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Takiyuddin Hassan sepatutnya mengaku kesilapannya mengumumkan Proklamasi Darurat ditamatkan pada 1 Ogos yang lalu tanpa perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Parti Amanah Negara) berkata, Takiyuddin yang pada waktu itu merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) sepatutnya berkata bahawa kerajaan sedang mendapatkan perkenan YDPA untuk tidak meneruskan Proklamasi Darurat.

Jelas beliau, kesilapan Takiyuddin jelas telah memberi implikasi yang besar terhadap negara.

“Kalau pagi itu Menteri Undang-Undang waktu itu bangkit kata beliau melakukan kesilapan dan sedang mendapat usaha perkenan YDPA, saya rasa selesai perkara itu.

“Sangat besar implikasinya apabila berlaku dalam dewan ini, ia juga merupakan salah satu punca kerajaan Perikatan Nasional jatuh,” katanya pada sesi perbahasan membahaskan usul mengungkai Ordinan Darurat pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pengumuman penamatan Proklamasi Darurat perlu dijadikan pengajaran kepada kerajaan pada hari ini supaya tidak melakukan kesalahan yang bahaya untuk diperbetulkan. – MalaysiaGazette