KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tidak salah untuk warga negara ini menyimpan wang di luar negara.
Jelas Pengerusi Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu, individu yang berbuat demikian juga tidak melanggar sebarang undang-undang.
“Terpulang kepada kerajaan (untuk buat siasatan) tapi dari segi undang-undang ianya tidak salah tetapi dari segi moral mungkin tidak sesuai kalau ada duit dan simpan di luar negara.
“Sebaliknya, mereka ini ada yang dapat keuntungan di luar negara bukan dalam negara dan mereka membayar hasil cukai di negara tersebut jadi kalau mereka bawa balik (wang itu) mungkin akan dikenakan bayaran lain.
“Jadi, mereka tidak buat kesalahan sama ada di negara kita atau pun di negara yang mereka berniaga. Kalau mereka tidak bayar cukai di negara yang mereka berniaga, itu salah,” katanya dalam sidang media di Yayasan Al Bukhary hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bahawa kerajaan telah mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memulakan siasatan terhadap laporan Pandora Papers.
Wan Junaidi di Dewan Rakyat hari ini berkata, SPRM dalam proses mendapatkan maklumat lanjut berhubung pendedahan itu serta mengadakan perbincangan dengan agensi lain termasuk BNM untuk memastikan koordinasi siasatan berjalan lancar.
Mengulas lanjut, Dr. Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa mengenai pendedahan Pandora Papers kerana belum wujud undang-undang mencegah perkara itu dilakukan.
“Tetapi takat yang kita tahu tidak ada kesalahan yang dilakukan oleh mereka namun demikian daripada segi moral mungkin.
“Kerajaan saya fikir tidak boleh bertindak apa-apa kerana undang-undang belum ada, kalau kita tidak suka kita boleh tukar undang-undang kita dan rakyat Malaysia yang berniaga di luar negara dan untung di sana mesti bawa balik keuntungan mereka,” katanya lagi.
Baru-baru ini, Pandora Papers mendedahkan ratusan pemimpin dunia, ahli politik, hartawan, selebriti, pemimpin agama dan pengedar dadah menyembunyikan wang dan pelaburan mereka menerusi pemilikan hartanah, kapal persiaran dan aset lain, sepanjang 25 tahun lepas.
Ini didedahkan menerusi 12 juta fail yang dimiliki 14 firma di serata dunia.
Menurut pendedahan itu, dua individu daripada Malaysia didakwa antara 336 ahli politik yang memiliki akaun luar pesisir dan terdapat 118 syarikat luar pesisir dengan pemilik berasal dari negara ini. – MalaysiaGazette