Home Nasional Pesalah dipenjara ikut tempoh walaupun Ordinan Darurat dimansuh – Ismail

Pesalah dipenjara ikut tempoh walaupun Ordinan Darurat dimansuh – Ismail

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ismail Mohamed Said (dua kanan). Foto HAZROL ZAINAL, 08 JULAI 2021.

KUALA LUMPUR – Pesalah yang telah dijatuhkan hukuman penjara ketika Proklamasi Darurat dilaksanakan, akan terus menjalani hukuman itu mengikut tempoh yang telah ditetapkan oleh mahkamah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, ia selaras dengan Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

“Pesalah-pesalah yang dijatuhkan perintah penjara wajib ketika Ordinan Darurat akan terus melaksanakan perintah tersebut sehingga tarikh yang ditetapkan selaras dengan Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan),” ringkas katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai respon soalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim (PH) yang menggesa kerajaan membebaskan individu yang telah dihukum dan dipenjarakan atas kesalahan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) ketika Darurat berkuatkuasa.

Proklamasi Darurat dikuatkuasa kira-kira lapan bulan, bermula Januari.

Penamatan Darurat itu diumum Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) ketika itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada Julai yang lalu.

Rentetan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan usul membahas dan mengungkai tujuh Ordinan Darurat pada hari ini. – MalaysiaGazette