Home Pendapat Jangan bergantung kepada kerajaan untuk semua keperluan kita

Jangan bergantung kepada kerajaan untuk semua keperluan kita

Rakyat Malaysia kembali bekerja selepas sektor ekonomi dibuka sepenuhnya. Gambar hiasan

SETELAH  berperang dengan Covid-19 untuk lebih setahun, boleh dikatakan kita kini cuba “berdamai” dengan musibah ini.

Penat kita kerananya, ramai kehilangan kerja atau mata pencarian dan cara hidup kita pun telah berubah.

Kerajaan pun telah cuba pelbagai cara untuk mengurang impak pandemik ini. Ada yang berjaya dan yang lain mungkin kurang berkesan.

Mereka juga tidak boleh disalahkan kerana memang tiada buku panduan untuk menanganinya.

Setiap Oktober, kita selalu menunggu untuk berita baik dari Bajet dan tahun ini pun samalah. Ada apa untuk saya dalam Bajet?

Inilah soalan yang terbayang dalam fikiran saya. Bukan saya sahaja malah saya rasa ramai lagi tertanya soalan ini.

Menteri Kewangan kita, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, akan membentangnya minggu depan dan ia datang tepat pada masa Malaysia sedang membuka balik ekonominya.

Setelah kian lama rakyat and ekonomi tertekan kerana virus ini, hanya sekarang kita dapat lihat sesuatu yang positif.

Dengan itu, harapan kita pada Bajet juga mungkin tinggi. Tetapi kita patut berfikir secara realistik dalam perkara ini.

Dari fasa pandemik, kita sedang beralih ke fasa endemik dan rakyat juga kini perlu memikul beban dalam menangani krisis ini.

Tetapi patutkah kita harap lebih daripada kerajaan? Kita sudah pun mendapat beberapa bantuan kewangan atau inisiatif daripada kerajaan seperti Bantuan Khas Covid-19, Bantuan Prihatin Nasional dan bantuan untuk peniaga-peniaga.

Kita perlu ingat bahawa dengan ekonomi kita terjejas teruk kerana Covid-19, banyak kegiatan yang pernah menjana pendapatan tidak lagi beroperasi seperti dulu.

Ini secara langsung menambah tekanan kepada kerajaan kerana walaupun ekonomi negara lembab, mereka masih perlu menjaga keperluan rakyat.

Ia terpaksa dilakukan dengan pelbagai pinjaman untuk menyokong dan “jump-start” kembali aktiviti ekonomi.

Dengan memahami situasi ini, kita boleh mengharapkan sedikit dorongan tetapi tidak patut menyerahkan semuanya kepada kerajaan.

Rakyat Malaysia patut mula berdikari untuk kesinambungan hidup selepas Covid-19 ini dan kurangkan harapan kita yang tidak habis-habis kepada kerajaan.

Lebih sejuta rakyat Malaysia dijangkiti Covid-19 dan kesannya juga melimpah kepada keluarga mereka. Bilangan yang terjejas secara langsung dengan virus ini mungkin dalam berjuta-juta orang.

Bilangan ini cuma yang terjejas dengan virus, belum lagi kira yang terjejas kerana faktor ekonomi.

Mana-mana kerajaan pun tidak mampu memuaskan semua kehendak penduduknya dalam bajet tahunan.

Ada yang mungkin akan dapat lebih maanfaat dan ada yang akan dapat kurang.

Dalam sistem kapitalis, ini adalah sesuatu yang dijangka dan patut diterima oleh rakyat.

Pilihan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia adalah kita jaga kita, selaras dengan slogan yang selalu diluang-luangkan.

Kita juga mungkin patut cuba berganding bahu dengan pelbagai inisiatif kerajaan.

Untuk menjadi sebuah negara yang kuat dari segala segi dan rakyat yang progresif, inilah ramuannya.

Biar kerajaan, menteri-menteri dan para ahli parlimen kita buat apa yang mereka rasa perlu. Kita rakyat Malaysia pun patut buat apa yang perlu.

Hidup kita adalah di tangan kita.

Jangan sentiasa hulur tangan untuk menerima sahaja. Sudah tiba masa untuk hulur tangan untuk memberi.

Bukan untuk memberi wang tetapi berilah idea, bekerja kuat dan selalu “think out of the box” untuk berjaya dalam apa jua bidang.

Lihat pada negara-negara yang lebih maju dan telitilah sikap rakyat mereka.

Suatu perubahan patut bermula dengan individu dan bukannya  dengan kerajaan.

Sektor swasta juga patut memainkan peranan yang lebih penting dalam membantu negara kita pulih dari krisis ini.

Saya berharap syarikat-syarikat yang mencatat keuntungan sekarang, dapat melabur balik dalam negara atau mewujudkan lebih pekerjaan.

Muhamad Redza Yaakob
Shah Alam