KUALA LUMPUR – Atlet terjun negara, Datuk Pandelela Rinong menjelaskan dia berkongsi pengalamannya mengenai gangguan seksual yang melibatkan bekas jurulatihnya untuk memberi sokongan dan menggalakkan mangsa lain untuk bersuara.
“Saya berkongsi pengalaman buruk itu untuk memberi kesedaran kepada orang ramai, dan sokongan kepada mangsa di luar sana, yang sentiasa dalam dilema, sama ada mahu bersuara atau berdiam diri.
“Paling penting, pemboleh dan penyokong pihak yang membuat gangguan seksual tidak seharuskan disensasikan. Orang lain mungkin lupa, tetapi bukan mangsa,” kata pemenang pingat Olimpik dua kali itu menerusi akaun Twitternya, malam tadi.
Walaupun menulis secara umum, ciapan itu dibuat hanya beberapa jam selepas Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu dilaporkan mempersoalkan motif Pandelela mengungkit kisah gangguan seksual oleh bekas jurulatihnya setelah “sekian lama”.
Ahmad Faizal memberitahu, beliau juga telah membuat beberapa panggilan peribadi kepada atlet-atlet dan berjumpa mereka mengenai pendedahan Pandelela itu mengenai gangguan seksual.
“Saya dah berjumpa dengan beberapa atlet tentang perkara ini jadi tidak sesuai untuk saya hebahkan lagi perkara ini masa ini.
Pada Khamis lalu, dunia sukan tanahair dikejutkan dengan pendedahan Pandelela bahawa beliau pernah dibuli oleh seorang jurulatih selepas menegur sikap individu berkenaan yang sering membuat lawak berbaur lucah.
Jelas pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 itu, setiap kali jurulatih itu membuat lawak sedemikian, beliau hanya mendiamkan diri atau pura-pura ketawa kerana bimbang dan berasa takut.
“Pernah sekali tak tahan saya tegur dia, tapi kena buli balik.
“Tujuh tahun kemudian dia buat kes rogol,” katanya di Twitter yang menggunakan tanda pagar #rapejokeisnotfunny, bermaksud lawak rogol tidak lucu.
Kenyatannya itu hadir selepas klip video menampilkan pelakon Fauzi Nawawi menceritakan pengalamannya melakonkan babak rogol dengan pelakon Raja Farah Raja Aziz tular di media sosial.
Fauzi kemudian memohon maaf atas kenyataannya itu.
Sebelum ini, perenang negara Cindy Ong memberitahu media dia pernah mengalami gangguan seksual selama bertahun-tahun, termasuk daripada jurulatih kebangsaan ketika dia remaja. – Malaysiagazette