KUALA LUMPUR – Bekas pengurus usahawan, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat, Nurnilam Sari akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pelawak terkenal, Harith Iskandar berhubung kandungan temu bualnya bersama usahawan tersebut di platform Facebook yang didakwa berat sebelah.
Nurnilam mendakwa Harith sebagai hos temu bual berkenaan membenarkan orang yang bersalah bercakap berhubung kes penipuan yang telah diadili di mahkamah.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada Harith Iskandar kerana membenarkan orang bersalah bercakap mengenai kes penipuan yang telah diadili di mahkamah. Mencemarkan maruah dan reputasi.
“Bila seseorang menjatuhkan reputasi kita dengan membiarkan orang yang bersalah bersuara, serta cuba membuat fakta yang salah. Jadi, hati-hati Harith dengan temu bual anda secara siaran langsung,” tulisnya di Facebook.
Dia yang dikatakan menjadi ‘mangsa’ kes melibatkan Nur Sajat itu tampil menyelar apa yang telah diperkatakan oleh usahawan tersebut.
“Eh tiba-tiba kata kita Perhubungan Awam (PR) dan Pemasaran mengurus stokis. Salah itu Sajat. Kita Pengurus Besar awak dulu, pencacai mengurus segala untuk awak.
“Sampai duit kita pun pinjam berjuta kan. Cakap serupa ular,” dedahnya lagi menerusi entri berkenaan.
Bagaimanapun, Harith Iskandar memberitahu bahawa dia sama sekali tidak berpihak kepada mana-mana individu seperti yang dikatakan berat sebelah semasa temu bual secara langsung itu.
Jelas Harith di Facebook, dia hanya mahu rakyat Malaysia mendengar sendiri apa yang diperkatakan Nur Sajat dari mulutnya sendiri.
Dalam temu bual tersebut usahawan kontroversi itu menceritakan kronologi yang terjadi dalam hidupnya berhubung beberapa isu sehingga mengambil tindakan melarikan diri ke luar negara. – MalaysiaGazette