Home Politik PRN Melaka: Pemuda UMNO akan kempen secara digital habis-habisan

PRN Melaka: Pemuda UMNO akan kempen secara digital habis-habisan

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki bercakap kepada media selepas mesyuarat EXCO Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia ketika di Menara Dato Onn, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 26 OKTOBER 2021.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan melipat gandakan usaha serta memperkasa strategi kempen secara digital menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, larangan-larangan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini dianggap sebagai satu cabaran dalam menyampaikan maklumat yang lebih efektif kepada pengundi di luar sana.

Katanya, walaupun kadar vaksinasi populasi dewasa di negara ini hampir mencecah 95 peratus namun ia bukan lesen besar untuk menjalankan kempen secara konvensional.

“Seperti mana saya katakan kesihatan dan keselamatan rakyat dan setiap pengundi termasuk jentera adalah keutamaan buat masa ini dan PRN Melaka ini merupakan satu medan bagaimana kita hendak mempelbagaikan mekanisme kempen menggunakan wahana media yang ada.

“Kita akan gandakan penggunaan media secara terbuka seperti Facebook, Twitter, Instagram dan TikTok termasuk di media sosial yang bersifat tertutup seperti WhatsApp dan Telegram.

“Kita juga telah wujudkan satu pasukan khas untuk kempen pilihan raya kali ini dan mekanisme atau model ini kita akan gunakan untuk Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya menerusi sidang media selepas Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato’ Onn hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf berkata, Pemuda UMNO akur dengan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh KKM sepanjang PRN Melaka kelak.

“Kita pastinya mematuhi apa jua yang telah ditetapkan oleh kementerian. Dalam kita hendak memastikan kemenangan, gerak kerja menyantuni dan meraih sokongan undi daripada rakyat dan anak muda tetapi keselamatan dan soal kesihatan rakyat adalah menjadi keutamaan dan ia adalah lebih penting daripada segala-galanya,” ujarnya.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Pemuda UMNO berhasrat untuk bertemu dengan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi mencadangkan sebarang penambahbaikan SOP, Asyraf berkata, perkara itu diserahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti.

Jelas beliau, Pemuda UMNO akan terus bekerja keras dengan menggunakan pendekatan dan kreativiti tersendiri dalam memenangi hati para pengundi.

“Pemuda apabila sudah ditetapkan SOP ini kita akan bekerja berdasarkan ruang lingkup yang telah ditetapkan dan saya rasa itu bukan penghalang.

“Sedikit sebanyak kita rasa mungkin itu adalah ‘disadvantage’ kerana jentera Barisan Nasional khususnya Pemuda kerana kalau kita lihat dalam siri-siri Pilihan Raya Kecil dan PRN Sabah, kita mempunyai struktur yang amat efektif untuk gerakkan kempen secara fizikal dan sebagainya tetapi seperti mana saya katakan, kita perlu fikir soal keselamatan rakyat sebagai keutamaan.

“Sebab itu lah kita cuba untuk bergerak dan bekerja dalam kapasiti dan ruang lingkup yang ditetapkan oleh kerajaan dan yang lain itu kita serahkan kepada kepimpinan tertinggi,” katanya.

Namun dalam masa sama, Asyraf masih berharap KKM dapat memperkemaskan lagi SOP PRN Melaka misalnya dengan menghadkan bilangan peserta yang menghadiri cerama-ceramah kempen kepada 50 peratus kapasiti ruang yang disediakan selain mematuhi penjarakan fizikal.

Pada Ahad, media melaporkan sebarang aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya dilarang bermula Isnin hingga 27 November.

Menurut Khairy, larangan tersebut ditetapkan meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal mengumumkan SOP PRN dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette