KUALA LUMPUR – Purata 10 kompaun telah dikeluarkan setiap hari pihak polis kepada orang awam yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) di ibu negara.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, kadar pematuhan SOP PPN bagi warga kota masih berada pada tahap yang amat baik serta memuaskan.
Namun tahap pematuhan dan kadar kompaun itu boleh berubah pada hujung minggu kerana orang ramai mengambil peluang untuk beriadah di luar.
“Berdasarkan kepada jumlah bilangan kompaun, saya suka menjawab ya (berpuas hati). Namun pada ketika dan hari tertentu khususnya hujung minggu, bilangan kompaun ini akan meningkat.
“Situasi itu menunjukkan ada dikalangan warga kota ini pada ketika tertentu mereka seakan terlupa namun mereka tidak akan terlepas daripada tindakan pihak kita,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejaba Polis Kotinjen (IPK) Kuala Lumpur hari ini.
Azmi menambah, pihaknya kini telah menyediakan sebanyak 68 pasukan pematuhan bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP PPN seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.
Selain itu, polis turut bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi memantau pematuhan SOP PPN sebagai contoh memantau di kawasan tapak bina yang memerlukan bantuan Jabatan Tenaga Kerja.
Mengenai isu individu memasuki premis tanpa mendaftar masuk aplikasi MySejahtera, Azmi berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai perkara itu.
“Kalau ada maklumat berkaitan perkara berkenaan, mereka boleh melaporkan kepada polis. Kefahaman masyarakat di Kuala Lumpur terhadap SOP sangat tinggi.
“Namun, mungkin ada kes terpencil seperti terlupa penjarakan fizikal dan tidak daftar masuk MySejahtera. Tindakan kompaun akan terus dikenakan terhadap mereka yang ingkar SOP,” katanya. – MalaysiaGazette