KUALA LUMPUR – Bermain di posisi yang bukan kebiasaan bukanlah satu masalah buat pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Zhafri Yahya yang kini dipertaruhkan selaku pemain sayap kanan oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak.
Zhafri menggalas peranan itu ekoran kecederaan yang melanda Hadin Azman dan dia pantas dapat menyesuaikan diri walaupun kali terakhir bermain posisi sayap kanan pada tiga musim yang lalu.
Tambahnya, dia tidak ada masalah untuk mengikuti segala arahan dan taktikal jurulatih walaupun sebelum ini kerap bermain di bahagian tengah.
“Dahulu semasa bermain di Piala Presiden, saya kadang-kadang sahaja bermain di posisi ini dan tidak ada banyak pengalaman selain pernah beberapa kali pada musim 2018.
“Bagaimanapun, musim ini berbeza buat saya kerana sudah bermain dekat sembilan perlawanan di bahagian sayap kanan atas arahan jurulatih kerana dia mungkin melihat saya ada keupayaan beraksi di posisi tersebut.
“Sebenarnya saya lagi seronok bermain di posisi sayap kanan kerana rasa lebih bebas untuk bergerak berbanding di bahagian tengah yang perlukan lebih fokus serta berdisiplin dalam melakukan pergerakan.
“Namun di mana sahaja diletakkan, saya tidak kisah asalkan dapat menyumbang sesuatu buat pasukan selain membuktikan saya boleh bermain lebih dari satu posisi,” katanya kepada Liga Bola Sepak Malaysia hari ini.
Zhafri yang bersama pasukan sejak musim 2016 merupakan pemain paling lama yang masih kekal selepas berhijrah dari Selangor dan sering kali berada dalam kesebelasan utama selaku pemain tengah.
Pemain berusia 27 tahun yang berasal dari Meru, Selangor ini pernah membantu Kuala Lumpur muncul juara Liga Perdana 2017 selain beraksi dua musim di Liga Super, pada musim 2018 serta 2019.
Sementara itu, Zhafri mengakui perjalanan Kuala Lumpur dalam pentas TM Piala Malaysia 2021 tidak semudah yang disangka sambil berasakan peluang ke suku akhir terbuka luas antara semua pasukan di Kumpulan A iaitu membabitkan Sarawak United FC, Penang FC dan Sri Pahang FC.
Namun, dia optimis rekod baik KL City di laman sendiri mampu memancarkan keyakinan buat dirinya serta rakan-rakan sepasukan dalam usaha mengembalikan zaman kegemilangan pasukan itu di pentas TM Piala Malaysia.
“Apa yang saya tengok pemain KL City semua begitu bekerja keras kerana mahu mengekalkan keputusan positif yang sedang kita bina dari Liga Super.
“Kita anggap semua pasukan dalam Kumpulan A ini adalah sama sahaja biarpun dua perlawanan telah berlalu dan kami tidak boleh memandang rendah keupayaan Sarawak, bagi aksi akan datang.
“Hajat kami mahu terus kekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri pada musim ini dan harap situasi berkenaan akan membantu kami untuk cuba melangkah sejauh mungkin dalam saingan TM Piala Malaysia, ” katanya. – MalaysiaGazette