KUALA LUMPUR – Kapten pasukan Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar menyifatkan perjalanan skuad ke suku akhir TM Piala Malaysia masih belum selamat meskipun meraih enam mata percuma susulan penarikan diri Negeri Sembilan FC selepas sebahagian besar pemain disahkan positif Covid-19.
Bagi Baddrol, pasukan hanya akan selesa sekiranya berjaya menewaskan Kelantan United FC terlebih dahulu pada 6 November depan sebelum berdepan perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Melaka United FC pada 9 November.
Ini kerana, selepas tewas kepada anak buah Zainal Abidin Hassan pada aksi kedua bulan lalu, Baddrol menganggap keputusan itu telah membuktikan apa sahaja boleh berlaku sekiranya mereka ambil mudah dalam baki dua perlawanan terakhir ini sambil menyifatkan enam mata percuma yang diberikan itu masih belum menjamin kedudukan pasukan.
Baddrol bagaimanapun tetap bersimpati dengan situasi yang menimpa skuad bimbingan K. Devan ini dan berharap mereka yang dijangkiti wabak itu akan segera sembuh.
“Memang la enam mata yang diberikan itu satu bonus buat kami sebab kami memang perlukan kemenangan ini selepas kalah dengan Melaka tempoh hari, dan kali ini dengan penarikan diri Negeri Sembilan memberi sedikit kelegaan kepada pasukan.
“Cuma ia tetap tidak akan menjamin apa-apa kerana masih ada dua perlawanan yang kena fokus dan kami pula ada rehat yang panjang lagi sebelum bertemu Kelantan United, momentum mesti lari sedikit dan sekarang kena sentiasa tingkatkan prestasi dalam latihan.
“Sebenarnya perjalanan ke suku akhir saya boleh katakan masih samar sebab yang penting kita kena menang dulu dengan Kelantan United, selepas itu baru kita akan nampak macam mana perjalanan seterusnya untuk layak”, jelasnya.
Bercakap mengenai persiapan pasukan, pemain berusia 33 tahun ini tidak menolak momentum pasukan bertambah baik selepas berdepan tiga siri aksi persahabatan dan mereka akan mengadakan satu lagi perlawanan persahabatan selepas ini memandangkan Kedah Darul Aman FC masih ada lebih kurang satu minggu untuk berdepan aksi sebenar pada 6 November depan.
“Walaupun dah rehat panjang, pada awalnya risau juga takut momentum kami terbantut, tetapi saya boleh katakan kami semua dah dapat rasa suasana perlawanan sebenar selepas menentang beberapa pasukan dalam aksi persahabatan sebelum ini.
“Cuma saya harap kami semua dapat mengekalkan momentum ini dan akan memberikan persembahan baik dalam dua perlawanan penting pada bulan hadapan”, tambahnya.
Kedah Darul Aman dijadualkan bertemu Negeri Sembilan pada Jumaat ini dan Selasa depan sebelum diberi kemenangan percuma untuk dua perlawanan tersebut.
Mereka kini di tangga kedua Kumpulan C dengan tiga mata manakala Melaka United di tangga teratas dengan dua kemenangan berturut-turut.
Negeri Sembilan FC pula di kedudukan ketiga dan Kelantan United masih lagi belum berjaya mendapatkan sebarang mata. – MalaysiaGazette