KUALA LUMPUR – Berita kurang baik buat Penang FC apabila kelab yang beraksi dalam saingan J. League dan K League dilaporkan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain pertahanannya, Ryuji Utomo.
Perkara ini dikongsikan oleh Asia Football di laman media sosial Twitter.
Ryuji yang juga pemain kebangsaan Indonesia bakal kembali ke pangkuan Persija Jakarta apabila tempoh pinjaman beliau bersama Penang FC tamat pada hujung musim ini.
Ejen Ryuji, Gabriel Budi memberitahu Penang FC telah menyuarakan hasrat mereka berminat meneruskan kerjasama bersama pemenang pingat gangsa Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 itu.
Kontrak pinjaman Ryuji bersama Penang dijangka tamat pada November ini dan dia akan kembali menyertai Persija apabila saingan Liga 1 Indonesia membuka jendela perpindahan kedua.
Persija meminjamkan Ryuji ke kelab luar negara bagi memastikan pemain itu berada dalam keadaan terbaik apabila Liga 1 rasmi dijalankan kerana pemain berusia 26 tahun itu merupakan tonggak utama di bahagian pertahanan.
Ryuji mencipta gandingan mantap bersama seorang lagi pemain import, Rafael Vitor di bahagian pertahanan dan keduanya menjadi salah satu faktor utama mengapa Penang FC mampu beraksi dengan baik dalam saingan Liga Super musim ini. – MalaysiaGazette