Home Utama Sasterawan Negara meninggal dunia ketika tidur

Sasterawan Negara meninggal dunia ketika tidur

Ahmad Khamal Abdullah atau nama penanya Kemala.

KUALA LUMPUR – Sasterawan Negara, Ahmad Khamal Abdullah, 80, meninggal dunia ketika tidur kira-kira jam 12 tengah hari tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan anaknya, Ainal Adnin Ahmad Khamal dalam satu kenyataan di sini.

Jenazah diuruskan di Surau as-Sahabah di Seksyen 7, Kota Damansara untuk dikafankan dan solat jenazah.

“Dengan penuh insaf rendah diri dan dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda kami Ahmad Khamal Abdullah telah menghembuskan nafas yang terakhir pada 27 Oktober 2021 hari Rabu, pada pukul 12 tengah hari di dalam tidurnya.

“Sehubungan dengan itu pihak waris dan keluarga telah menetapkan upacara pengurusan jenazah almarhum pada hari ini selepas waktu Zuhur di Surau as-Sahabah, Seksyen 7, Kota Damansara.

“Muslimin dan muslimat, saudara mara kepada almarhum yang jauh dan dekat dengan rendah hati dimohon menghadiahkan al-Fatihah dan mendoakan akan kesejahteraannya di alam kubur dan akhirat kelak,” katanya.

Pada 2011, Ahmad Khamal yang juga penyair dinobatkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-11 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Dikenali dengan nama pena sebagai Kemala, arwah menerima anugerah itu daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu timbalan perdana menteri.

Ahmad Khamal yang dilahirkan di Gombak, Selangor mempunyai latar belakang kegiatan sastera yang luas.

Dia mula menulis sejak di bangku sekolah rendah dan menghasilkan banyak buku puisi, antonologi cerpen dan drama. – MalaysiaGazette