Home Seni Hidup AR Rahman peringati kematian T Nhaveen

AR Rahman peringati kematian T Nhaveen

Rahman bercakap pada sidang media pelancaran filem dokumentari One Heart, di ibu baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Pemenang Oscar dan komposer “Jai Ho” untuk filem “Slumdog Millionaire”, AR Rahman memperingati kematian mangsa buli, T Nhaveen yang disifatkannya insiden mendukacitakan.

Ikon muzik antarabangsa dari India itu yang merupakan idola Nhaveen turut menghantar pesanan Twitter mendoakan remaja berusia 18 tahun itu segera pulih, beberapa minit sebelum beliau meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang pada 15 Jun lalu.

“Saya amat terkesan dan terganggu dengan kematian remaja T Nhaveen. Ia insiden yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya pada satu sidang media pelancaran filem dokumentari One Heart, di ibu negara baru-baru ini.

Filem dokumentari pertama itu menceritakan perjalanan seni AR Rahman dalam bidang muzik selama 25 tahun yang turut memuatkan segmen khas konsert beliau di seluruh dunia.

“One Heart ialah percubaan baharu dan segar. Ia akan memuatkan segmen daripada konsert, persediaan rakaman, persiapan belakang pentas dan paling penting pemuzik dalam semua konsert saya,” ujarnya.

Semua perbelanjaan promosi bagi tayangan filem One Heart ditanggung sepenuhnya syarikat pengedar filem Malaysia, Malik Stream Corporation dan hasil kutipan tiket akan disalurkan kepada Yayasan AR Rahman.

Dua bulan lalu, ibu saudara Nhaveen pernah memaklumkan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia itu bercita-cita menjadi komposer terkenal seperti Rahman.

Katanya, Nhaveen sepatutnya pergi ke Kuala Lumpur sehari sebelum serangan itu, untuk mendaftar di sebuah kolej dalam kursus penggubahan lagu.

“Dia sukakan muzik. Dia bekerja sebagai promoter selepas SPM untuk mengumpul duit bagi menyambung pelajarannya di KL,” ujar Rahman.

Dalam kejadian 9 Jun lalu, Nhaveen bersama rakannya, T Previin, 19, yang bekerja sebagai jurujual di sebuah pusat beli-belah di Bayan Lepas, dalam perjalanan ke rumah di Gelugor, dibelasah sekumpulan pemuda.

Nhaveen diisytiharkan mati otak serta mengalami kecederaan parah dengan kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul dan kesan lecur di belakang badannya.

Rahman kemudiannya memuat naik ucapan selamatnya kepada Nhaveen.

“Nhaveen, doa dan kasih sayang semoga anda cepat sembuh. Semoga segala kekejaman lenyap dan manusia kembali sedar…salam!,” tulis Rahman di Twitternya. – MalaysiaGazette