KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggesa kerajaan melihat secara serius dan mengkaji semula skim gaji serta kebajikan anggota dan pegawai agensi-agensi penguatkuasa di Malaysia khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, langkah itu sebagai salah satu langkah penting bagi mengelakkan anggota dan pegawai agensi-agensi penguatkuasa terjerumus ke dalam kancah rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan ucapan tahniah atas pelantikan Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun sebagai Ketua Polis Negara yang baharu.
Dzulkifli yakin Ketua Polis Negara itu membawa perubahan dan pembaharuan ke arah menjadi Polis Diraja Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan cemerlang dan terulung di negara ini.
Pada masa sama, pelantikan Mohamad Fuzi diharap dapat memastikan PDRM bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa.
“SPRM percaya beliau akan memikul tanggungjawab yang telah diamanahkan dengan bebas, berani dan berintegriti.
“SPRM turut yakin beliau dapat memperkasakan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak yang telah sedia terjalin dalam usaha membanteras jenayah di negara ini,” katanya. – MalaysiaGazette