Home Nasional Jangan lupa bantu golongan M40, kami juga terkesan akibat pandemik

Jangan lupa bantu golongan M40, kami juga terkesan akibat pandemik

Selain golongan B40, M40 juga berhadapan dengan cabaran getir akibat pandemik Covid-19 bagi tempoh lebih kurang dua tahun kebelakangan ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Selain golongan B40, M40 juga berhadapan cabaran getir akibat pandemik Covid-19 bagi tempoh lebih kurang dua tahun kebelakangan ini.

Antaranya, ada yang diberhentikan kerja dalam keadaan mereka perlu menanggung pembiayaan keluarga, ansuran rumah dan kereta.

Ternyata impak pandemik tidak mengira latar belakang pendidikan, kerjaya dan rata-rata mereka terkesan mahu belanjawan yang dibentangkan esok memberi mereka jalan keluar menempuh hari mendatang.

Itu dilema seorang bekas graduan luar negara yang juga bekas pekerja swasta seperti Nor Adlan Malik.

Nor Adlan Malik,. Foto AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2021.

Beliau yang berusia 52 tahun itu diberhentikan kerja baru-baru ini dan sehingga kini masih lagi gagal mencari pekerjaan baharu dan situasi itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada dirinya.

“Sebab saya rasa belanjawan yang akan dibentangkan esok selalunya lebih kepada pekerja sektor kerajaan, kami di pihak swasta tidak ada siapa yang peduli sudah lama sangat.

“Macam saya umur 50 tahun, diberhentikan kerja, susah nak cari kerja sedangkan tanggungan bulanan bayar kereta, rumah ada. Lebih-lebih lagi saya lelaki, kena tanggung keluarga. Perkara ini bantuan begini kena diperincikan lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Ujarnya, ramai lagi golongan M40 yang senasib sepertinya dalam waktu ini.

Sehubungan itu, Nor Adlan berharap agar kerajaan dapat membuka peluang pekerjaan bukan hanya kepada golongan B40, malah untuk M40 dengan gaji yang bersesuaian dengan kelayakan.

“Naikkan bantuan kewangan untuk golongan M40 juga untuk B40 kerana saya rasa peruntukan buat masa ini tidak mencukupi dan mengadakan lagi peluang pekerjaan untuk B40 dan M40, sebab M40 pun terjejas akibat Covid-19.

“Kalau boleh peluang pekerjaan jangan hanya setakat beri gaji RM2,000 susahlah kami (M40), umur 50 tahun, lulusan luar negara, macam mana itu?” soalnya.

Sementara itu, Toh yang bekerja sendiri berpandangan kerajaan perlu menambah bantuan pinjaman mikro untuk golongan M40.

Toh. Foto AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2021.

Ujarnya, golongan ini sekurang-kurangnya boleh mula berdikari dengan memulakan perniagaan secara kecil-kecilan selepas pelbagai sektor kini telah dibenarkan beroperasi.

Bagi seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Toh, 59,  pula berkata, bukan hanya golongan B40, M40 juga banyak berhadapan dengan kesempitan hidup namun tidak didekati.

“Kalau boleh beri lebih insentif. Mungkin dari segi  pinjaman mikro untuk golongan M40 yang kehilangan pekerja memulakan perniagaan kecil itu satu cara di mana lebih progresif di mana akan dapat berusaha dan berdikari.

“Pasti M40 pun ramai yang susah, banyak tempat majikan tidak dapat meneruskan pengoperasian, buang pekerja, ramai golongan M40 segan untuk bersuara. Jadi kalau dapat dekati golongan begini dan hulurkan pertolongan,” katanya.

Belanjawan 2022 akan dibentang oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat esok dan dijangka akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat dengan pelbagai insentif akan diperkenalkan.

Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Faizal Jahaya, 48, berkata, kerajaan juga perlu menumpukan penyelesaian kepada masalah mental dalam kalangan rakyat termasuklah golongan M40 dan B40.

Faizal Jahaya. AFFAN FAUZI, 28 OKTOBER 2021.

Katanya, bukan hanya aspek ekonomi yang menekan kehidupan dua golongan ini malah masalah sosial juga menjadi salah satu penyumbang berlakunya masalah tekanan perasaan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, masalah mental merupakan isu yang serius untuk beri perhatian dalam situasi pandemik ini.

“Kerajaan lebih tahu apa yang berlaku kepada rakyat. Kita tengok banyak bantuan kewangan tetapi saya rasa yang juga perlu diketengahkan adalah bantuan mental.

“Ramai orang dah bercerai-berai, anak-anak kehilangan ibu bapa, ibu bapa kehilangan anak-anak. Masalah mental ini pun serius juga,” tambahnya.- MalaysiaGazette