Home Nasional Warga asing pegang Pas Lawatan Jangka Panjang dibenarkan masuk tanpa MTP

Warga asing pegang Pas Lawatan Jangka Panjang dibenarkan masuk tanpa MTP

Warganegara asing pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui sistem MyTravelPass (MTP) / MyEntry mula 1 November ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Warganegara asing pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melalui sistem MyTravelPass (MTP) / MyEntry mula 1 November ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pengumuman itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Bilangan 60 Tahun 2021 (Siri 22) yang telah diadakan pada Jumaat lalu.

Ujarnya, sebanyak 14 Pas Lawatan Jangka Panjang yang dibenarkan masuk ke Malaysia tanpa perlu memohon melalui MTP / MyEntry.

Ia melibatkan Diplomat (Exemption Order) / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing; Pas Penggajian (Kategori I,II,III) / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing; Resident Pass-Talent (RP-T) / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing; Pas Lawatan Ikhtisas – Pakar; Pas Lawatan Ikhtisas; Pemastautin Tetap (PR) / Pasangan kepada PR / Anak kepada PR dan Pas Jangka Panjang (Suami / Isteri / Anak) kepada warganegara.

Selain itu adalah Pas Warga Emas; Pas Balu / Janda kepada Warganegara; Pas Pelajar / Tanggungan / Pengiring; Pas Malaysia My Second Home (MM2H) / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing; Pas Residen; Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan Pembantu Rumah Asing (PRA), katanya menerusi kenyataan hari ini.

Bagaimanapun menurut Khairul, warganegara asing yang memegang kad lawatan sosial, Pemegang Pas Lawatan Jangka Panjang yang telah tamat tempoh perlu memohon melalui sistem MTP / MYEntry untuk kebenaran masuk ke Malaysia.

Begitu juga bagi permohonan Pas Penggajian (Kategori I,II,III) / Resident Pass-Talent (RP-T) / Tanggungan / Pembantu Rumah Asing dan Pas Lawatan Ikhtisas – Pakar yang baru diluluskan; dan Short Term Business Traveller.-MalaysiaGazette