KUALA LUMPUR – Juara Liga Perdana Singapura musim 2021, Lion City Sailors dilaporkan memberikan tawaran kepada penyerang tinggi lampai skuad kebangsaan Korea Selatan, Kim Shin-wook bagi menghadapi saingan musim 2022.
Berita itu dikongsikan oleh Korean Football News di laman media sosial Twitter.
Lion City ketika ini mahu mencari pemain yang mempunyai pengalaman luas di peringkat Asia kerana mereka akan beraksi dalam saingan AFC Champions league (ACL) musim hadapan.
Lion City Sailors yang sebelum ini dikenali sebagai Home United memenangi saingan S-League dengan kelebihan dua mata di hadapan Albirex Niigata sekaligus melayakkan diri untuk beraksi dalam pertandingan peringkat Asia.
Sementara itu, Shin-wook memulakan karier profesional di liga Koreabersama Ulsan Hyundai dari 2009 hingga 2015.
Pemain berusia 33 tahun itu kemudiannya menyertai Jeonbuk Hyundai Motors dan beraksi bersama pasukan itu hingga 2019.
Bersama Jeonbuk, Shin-wook pernah memenangi trofi AFC Champions League pada 2016.
Shin-wook kemudiannta berhijrah ke saingan Liga Super China (CSL) pada 2019 dengan menyertai Shanghai Shenhua dan berjaya memenangi trofi Piala FA China pada musim pertamanya bersama pasukan itu.
Lion City dikhabarkan menawarkan kontrak selama tiga tahun kepada Shin-wook dan pemain itu akan menerima bayaran sebanyak $1.7 juta atau RM5.2 juta.
Sekiranya Shin-wook menyertai Lion City, dia akan beraksi bersama deretan pemain bintang lain yang ditandatangani sebelum ini seperti Shahdan Sulaiman, Hariss Harun, Faris Ramli serta Gabriel Quak. – MalaysiaGazette