Home Nasional Pengeluar arak TIMAH mohon seminggu bincang tukar nama serta imej

Pengeluar arak TIMAH mohon seminggu bincang tukar nama serta imej

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

KUALA LUMPUR – Pengeluar arak jenama ‘TIMAH’ yang mencetuskan kontroversi kerana pemilihan jenama serta gambar yang digunakan pada produk tersebut memohon tempoh seminggu untuk berbincang dengan pemegang saham sebelum membuat sebarang keputusan.

Perkembangan terbaharu itu dinyatakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, satu perbincangan membabitkan pelbagai pihak di peringkat kementerian dengan wakil syarikat pengeluar arak jenama ‘TIMAH’ iaitu Winepark Corpration (M) Sdn.Bhd telah diadakan baru-baru ini.

“Syarikat Winepark Corporation (M) Sdn. Bhd. telah memohon tempoh satu minggu untuk berbincang dengan pemegang saham dan lembaga pengarah mereka bagi menukar nama dan imej pada label produk arak keluaran mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mnurut Alexander, pertemuan secara hibrid itu diadakan dalam suasana harmoni menghayati konsep Keluarga Malaysia bagi mencapai satu kesepakatan demi kebaikan negara.

“Pertemuan ini juga merupakan susulan pertemuan pertama yang telah diadakan antara syarikat Winepak (M) Sdn. Bhd. bersama MyIPO pada 25 Oktober lalu bagi membincangkan perkara tersebut ,” ujarnya.

Artikel berkaitan:

Alexander berkata, mesyuarat semalam yang dipengerusikannya turut disertai oleh Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad; dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Hadir sama adalah Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Seri Hj Hasnol Zam Zam Hj Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga Dan Sumber Asli (KeTSA), Abdul Wahid Abu Salim; dan Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Abdul Haris Lakar.

Selain itu, wakil daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga turut hadir.

Jenama arak ‘TIMAH’ mendapat bantahan dalam kalangan umat Islam di negara ini yang mengaitkannya dengan nama puteri Nabi Muhammad SAW iaitu Fatimah kerana dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tidak perlu letak nama yang mengelirukan, bukan budaya orang melayu untuk minum arak. Lepas ini jangan pula ditukar kepada nama tuak atau anggur, tu lagi mengelirukan, kerana tuak adalah minuman di sebalah pantai timur atau anggur adalah minuman kegenaran kanak-kanak.

Comments are closed.