Home Nasional Siti Bainun gagal dapatkan hak jagaan seorang anak angkat

Siti Bainun gagal dapatkan hak jagaan seorang anak angkat

Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali bersama peguamnya hadir ke mahkamah bagi pendengaran permohonan untuk mendapatkan semula lima anak angkatnya yang kini berada di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 14 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan rakyat Indonesia berumur tiga tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Peguam Nur A’minahtul Mardiah Md Nor yang mewakili Siti Bainun, 29, berkata Majistret Norfarahain Roslan memerintahkan kanak-kanak berkenaan ditempatkan di Rumah Kanak-kanak Tengku Budriah di Cheras selama tiga tahun.

Beliau berkata  mahkamah membuat keputusan menolak permohonan anak guamnya atas alasan berdasarkan keterangan Konsulat Indonesia, mana-mana ibu angkat yang ingin mengambil anak angkat warganegara itu perlu berumur 30 tahun ke atas dan telah berkahwin sekurang-kurangnya lima tahun.

Mahkamah juga menolak permohonan seorang ibu kandung untuk mendapatkan hak penjagaan ke atas kanak-kanak sama, katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding pendengaran permohonan itu yang  bermula 11.40 pagi dan berakhir lewat 5 petang.

Nur A’minahtul Mardiah juga berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Prosiding hari ini turut dihadiri Siti Bainun dan lima kanak-kanak berkenaan serta ibu kandung mereka.

Ditanya mengenai permohonan Siti Bainun dan empat ibu kandung bagi mendapatkan hak penjagaan empat lagi kanak-kanak di bawah jagaan JKM, Nur A’minahtul Mardiah berkata permohonan berkenaan masih belum diputuskan dan pendengaran akan bersambung 2 dan 16 Nov ini.

Pada 2 Ogos lepas, Siti Bainun dan empat ibu kandung memfailkan permohonan melalui notis secara bersama di Mahkamah Majistret di sini, memohon perintah jagaan sementara terhadap lima kanak-kanak yang diberikan kepada beberapa rumah jagaan di bawah JKM pada 16 Julai 2021 dibatalkan serta-merta di bawah Seksyen 30 (13) (c) Akta Kanak-Kanak 2001.

Siti Bainun dan empat ibu kandung itu memfailkan permohonan tersebut  dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

— BERNAMA