Home Nasional MAQIS rampas 27 tan tulang ikan tuna sejuk beku

MAQIS rampas 27 tan tulang ikan tuna sejuk beku

27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dirampas pada Selasa lalu.

BUTTERWORTH – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS)  Pulau Pinang telah merampas 27 tan tulang ikan tuna sejuk beku dari China di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini pada Selasa lalu.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam satu kenyataan berkata, rampasan dibuat susulan komoditi yang dibawa masuk adalah berbeza dengan komoditi yang diisytihar pada Permit Import yang dikeluarkan daripada Jabatan MAQIS.

Anggota Maqis sedang melakukan pemeriksa pada kontena yang membawa muatan tulang ikan tuna sejuk beku di NBCT Butterworth.

“Tulang ikan tuna sejuk beku bernilai RM362,630 itu dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Selain itu, pengikraran maklumat yang berbeza serta mengelirukan pada permit import Maqis merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] iaitu mana-mana orang yang memberikan maklumat yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan dalam pengimportan keluaran pertanian adalah menjadi suatu kesalahan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau keduanya sekali,” katanya.

Kotok berisi tulang ikan tuna sejuk beku yang dirampas pihak Maqis.

Tambahnya, pihak MAQIS komited dalam melakukan pemeriksaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keluaran pertanian, perikanan dan haiwan yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan bagi menjamin kualiti serta selamat untuk dimakan oleh rakyat Malaysia. – MalaysiaGazette