Home Dunia Tentera Filipina bunuh pemimpin pengganas

Tentera Filipina bunuh pemimpin pengganas

Salahuddin Hassan dan isteri terbunuh dalam serangan di pekan Talayan. foto https://www.philstar.com/.

MANILA – Tentera Filipina membunuh ketua kumpulan pengganas yang didakwa menjadi dalang di sebalik siri-siri pengeboman dan pembunuhan di selatan Filipina, kata seorang jeneral tentera.

Mejar Jeneral Juvymax Uy, Komander Divisyen Infantri ke-6 tentera berkata, tentera membunuh Salahuddin Hassan, yang didakwa Ketua Daulah Islamiya di Filipina dan isterinya dalam pertempuran 30 minit yang berlaku sebelum jam 3 pagi waktu tempatan di wilayah Maguindanao .

Uy berkata, tentera menyerbu kampung itu selepas penduduk tempatan melaporkan kehadiran kira-kira 30 lelaki bersenjata di kawasan tersebut.

Tambahnya, semasa kemuncak pertempuran itu, pengikut Hassan melarikan diri, meninggalkan pasangan yang terbunuh itu.

Tentera juga menemui senapang R4, bandoleer dan beberapa butir peluru di lokasi pertemuan.

“Kumpulan Hassan bertanggungjawab atas aktiviti pemerasan dan pengeboman di Mindanao Tengah yang mensasarkan personaliti perniagaan dan syarikat,” kata Uy.

Beliau berkata, Hassan berada di belakang serangan bom pasar malam di Davao City pada September 2016, yang mengakibatkan 15 orang maut dan 70 orang cedera. – Xinhua