KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M. Saravanan menafikan beliau terlibat dalam insiden pergaduhan membabitkan dua kumpulan di pejabat akhbar Tamil Malar Daily di Jalan Ipoh di sini, hari ini.
Anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC itu berkata, kehadirannya di tempat itu adalah untuk meleraikan pergaduhan di antara kedua-dua kumpulan itu.
“(Saya) tidak ada kena mengena (dengan insiden itu). Ada orang di situ memberitahu saya akan insiden itu dan kebetulan saya berada di pejabat MIC Wilayah, yang berdekatan dengan pejabat akhbar itu. Jadi saya pergi ke sana untuk melihat keadaan. Saya juga tidak membawa sesiapa bersama ketika ke tempat kejadian itu.
“Ketika saya di lokasi, kedua-dua kumpulan ini hanya tolak menolak dan saya hadir untuk meleraikan mereka bagi mengelak kejadian bertambah buruk,”katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Katanya beliau telah mengarahkan kedua-dua kumpulan itu membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya perkara berkenaan untuk disiasat polis.- BERNAMA