Home Nasional Golongan OKU harap perancangan lebih tersusun

Golongan OKU harap perancangan lebih tersusun

Zainal Safuan Zainal Abidin

JOHOR BAHRU – Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) mengharapkan pengumuman berkaitan Bajet 2020 untuk golongan berkenaan terutama melibatkan insfrastuktur dapat direalisasikan dengan lebih tersusun.

Zainal Safuan Zainal Abidin yang berkerusi roda berkata, hasrat kerajaan ingin menjadikan insfrastuktur terutama bangunan kerajaan mesra OKU masih belum berjaya sepenuhnya.

Malah kebanyakan kemudahan yang disediakan untuk golongan itu kurang menepati kehendak OKU sepertinya, ujar beliau.

Berikutan itu, beliau mengharapkan pembangunan yang akan dilakukan seharusnya lebih tersusun bagi memudahkan pergerakan golongan berkenaan.

“Maksud saya di sini ialah insfrastuktur yang terkini, contoh di pejabat kerajaan atau swasta sekalipun sekarang kemudahan yang ada melepaskan batuk ditangga, sekadar ada. Ia tidak melepasi spesifikasi OKU.

“Mungkin kalau untuk bangunan yang baru mungkin keadaan itu berbeza dari yang lama, jadi kemudahan parking dan kaunter OKU lebih susah dan sekarang ini kebanyakan pejabat kerajaan di mall kalau di Johor Bahru di Galeria jadi untuk golongan seperti kami ini agak susah.

“Kemudahan sangat minimum walaupun saya boleh drive, tetapi untuk saya ke office susah kalau tiada bantuan orang lain. Inikan pula oramg lain seperti OKU terlantar mungkin yang tidak boleh gerak sendiri lebih rumit,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Melayu, di sini, hari ini.

Zainal berkata, bukan beliau tidak besyukur, malah dia tetap berterima kasih kerana kerajaan tidak meminggirkan golongan istimewa sepertinya.

Kerajaan memperuntukan RM30 juta bagi menaik taraf insfrastuktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU antaranya menyediakan banyak lakuan khas untuk golongan cacat penglihatan.

Dalam pada itu, Zainal yang berniaga makanan menerusi atas talian gembira kerana program latihan serta bimbingan kepada golongan OKU turut diberi pehatian menerusi peruntukan yang diberikan kepada Pusat Latihan Berdikari dan Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan.

Jelas beliau, kejayaan program itu sudah pasti membantu golongan OKU supaya lebih yakin selain mampu memperbaiki  ekonomi mereka. – MalaysiaGazette